Novel Coronavirus 2019 (2019-nCoV) terus menjadi topik perbincangan global berikutan bilangan kes yang meningkat dengan mendadak setiap hari hingga meragut keseluruhan 906 nyawa termasuk Doktor Li Wenliang, doktor pertama yang memberi amaran mengenai bahaya wabak itu.

Lebih membimbangkan apabila sejak semalam angka korban 2019-nCoV dilaporkan melebihi jumlah 774 kematian akibat wabak Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS) pada tahun 2002-2003.

Bagi anda yang terlepas perkembangan semasa 2019-nCoV, Jobstore.com kongsikan kronologi kejadian wabak ini di samping situasi semasa kes di Malaysia untuk pengetahuan bersama. Sentiasa amalkan langkah pencegahan yang disarankan pada setiap masa.

 

Kronologi

Disember 2019 : Dikesan bermula di Wuhan, China susulan gejala pneumonia melibatkan masyarakat setempat yang dikaitkan dengan sebuah Pasar Makanan Laut Huanan.

1 Januari 2020 : Pasar Makanan Laut Huanan ditutup.

7 Januari 2020 : Pihak berkuasa China mengenal pasti virus Coronavirus baharu yang dikenali sebagai Novel Coronavirus 2019 (2019-nCoV).

11 Januari 2020 : China mengesahkan wabak 2019-nCoV meragut nyawa seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun pada 9 Januari.

13 Januari 2020 : Virus menular dari China ke Thailand.

17 Januari 2020 : Susulan kematian kedua yang dilaporkan di Wuhan, pihak berkuasa Amerika Syarikat melakukan saringan penumpang di tiga lapangan terbangnya. 

20 Januari 2020 : Mangsa 2019-nCoV meningkat kepada tiga orang dengan lebih 200 kes jangkitan termasuk di Beijing, Shanghai dan Shenzen. 

22 Januari 2020 : 2019-nCoV meragut 17 nyawa dengan 550 kes jangkitan.

23 Januari 2020 : Wuhan diletakkan dalam kuarantin dengan penerbangan dan perkhidmatan kereta api keluar dari bandar itu digantung.

25 Januari 2020 : Hong Kong isytihar darurat dan membatalkan semua acara sambutan awam sempena Tahun Baharu Cina.

26 Januari 2020 : Kes baharu wabak disahkan di Amerika Syarikat, Taiwan, Thailand, Jepun dan Korea Selatan. Beberapa negara mula menyekat kemasukan pelancong dari China.

27 Januari 2020 : Malaysia turut mengambil tindakan sama menyekat sementara kemasukan rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta bandar sekitarnya.

30 Januari 2020 : Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) isytiharkan Novel Coronavirus 2019 darurat kesihatan awam global.

1 Februari 2020 : Kematian akibat wabak di China meningkat kepada 259 orang.

3 Februari 2020 : Hospital pertama yang dibina dalam 10 hari di Wuhan, Huoshenshan atau Fire God Mountain mula beroperasi.

4 Februari 2020 : Kes maut pertama 2019-nCoV luar China berlaku di Filipina membabitkan seorang lelaki berusia 44 tahun dari Wuhan.

7 Februari 2020 : Doktor pertama yang memberi amaran mengenai bahaya Novel Coronavirus, Doktor Li Wenliang disahkan meninggal dunia pada pukul 2.58 pagi. 

7 Februari 2020 : Singapura isytihar Amaran Kedudukan Sistem Tindak Balas Perebakan Penyakit (DORSCON) peringkat jingga berikutan penemuan tiga kes Coronavirus baharu membabitkan mangsa yang tiada sejarah kunjungan ke China.

7 Februari 2020 : Penyelidik berpendapat penularan wabak Coronavirus di China mungkin disebarkan melalui kelawar kepada manusia menerusi pemerdagangan haram tenggiling.

8 Februari 2020 : Penduduk Singapura mula melakukan pembelian panik dan mengosongkan rak di pasar raya utama selepas kerajaan menaikkan tahap amaran peringkat jingga.

8 Februari 2020 : Hospital kedua coronavirus dibuka di bandar Wuhan dengan dilengkapi 1,500 katil dan sebuah bilik pembedahan.

9 Februari 2020 : Korban akibat coronavirus meningkat kepada 814 orang, mengatasi angka kematian akibat SARS 18 tahun lalu.

10 Februari 2020 : Sekumpulan pakar antarabangsa yang diketuai WHO dikerah ke Beijing, China bagi membantu siasatan Novel Coronavirus.

 

Jumlah kes

  • Berdasarkan portal rasmi Kementerian Kesihatan, setakat pukul 8 pagi ini, sebanyak 40,160 kes dilaporkan di seluruh dunia dengan majoritinya membabitkan warga China

Negara terlibat 

  • 25

Jumlah kematian 

  • 906 (kes di China dan Filipina)

 

Situasi 2019-nCoV di Malaysia

-Setakat ini sebanyak 18 kes dilaporkan dengan tiada kematian. Kes terbaharu membabitkan seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun yang bekerja di Macau, China dan mempunyai sejarah perjalanan ke negara itu.

-Daripada jumlah itu, tujuh kes dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI) jangkitan, lapan kes dalam kalangan kontak rapat dan dua kes membabitkan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

-Pada 6 Februari lalu, Malaysia merekodkan kes pertama membabitkan rakyat tempatan yang tidak pernah ke China iaitu seorang wanita berusia 40 tahun yang merupakan adik kepada mangsa lelaki yang dilaporkan positif 2019-nCoV sebelum ini.

 

Fakta 

-2019-nCoV merupakan keluarga Coronavirus yang menyebabkan pelbagai penyakit daripada selsema hingga ke penyakit lebih teruk seperti wabak Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) dan SARS.

-Virus yang tidak pernah dijumpai pada manusia.

-Saintis berpendapat Coronavirus baharu itu mungkin berasal daripada kelawar atau ular berdasarkan analisis genetik yang dilakukan.

-Novel Coronavirus berjangkit daripada individu ke individu melalui titisan pernafasan atau sentuhan.

 

Sebarang pendapat kongsikan di ruangan komen di bawah. Jangan lupa ikuti Jobstore.com untuk informasi gaya hidup, kerjaya dan peluang pekerjaan baharu.
 

Rosalinda is a content writer who writes career-related and lifestyle contents in Malay language. Rosalinda has a sweet tooth and can’t resist ice-cream.

Reach me at rosalinda@jobstore.com

 
SHARE ON