Sejak beberapa hari lalu, kopi Dalgona menjadi trending di media sosial sebagai minuman pilihan rata-rata rakyat Malaysia yang berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kopi viral dari Korea Selatan itu dikatakan setanding rasa kopi mahal walaupun cuma menggunakan empat bahan iaitu nescafe segera, susu segar, gula dan air panas, malah ada juga yang mengolah resipi menggunakan koko dan milo bagi bukan penggemar kopi.

Tetapi, tahukah anda segelas kopi Dalgona itu mengandungi kira-kira 331 kalori? Menurut pakar nutrisi, untuk membakar kesemua kalori itu dalam tempoh duduk di rumah ini anda perlu melakukan kerja rumah sekurang-kurangnya selama 2 jam 30 minit.

Sumber : Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan

Bagi memastikan rakyat Malaysia sentiasa di landasan tepat dalam menjaga kesihatan, Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan menerusi Facebook rasminya mengajak orang ramai menyahut cabaran minum air kosong secukupnya iaitu 8 gelas atau 2 liter sehari sepanjang PKP ini sekali gus mengelak minuman berperisa dan bergula.

Di samping itu, masyarakat turut dinasihatkan agar sentiasa mempelbagaikan jenis makanan daripada sumber kumpulan yang berlainan dan jangan hanya bergantung kepada satu-satu hidangan yang kononnya boleh mencegah atau merawat COVID-19 kerana belum ada sebarang kajian saintifik yang berjaya membuktikan pengambilan makanan tertentu dapat mencegah atau merawat jangkitan wabak.

Sehubungan itu, manfaatkan tempoh PKP untuk makan secara sihat dan seimbang bersama keluarga mengikut jadual dengan saranan konsep suku suku separuh. Memandangkan pergerakan anda hanya terhad di rumah pada waktu ini dan kemungkinan besar kurang aktiviti fizikal dilakukan jadi, elakkan makan secara berlebihan.

Pengambilan kalori berlebihan sedangkan penggunaan kalori kurang boleh meningkatkan risiko kegemukan dan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung.

Berikut adalah antara lima kaedah makanan sihat yang boleh dicuba di rumah:

Mengukus

  • boleh meminimumkan kehilangan nutrien semasa memasak
  • mengekalkan rasa asli dan kesegaran makanan

Menumis

  • mengurangkan kehilangan nutrien terutama Vitamin B dan C kerana masa memasak yang singkat 
  • rendah kalori kerana penggunaan minyak yang minimum
  • sesuai untuk memasak sayur-sayuran

Membakar

  • rendah kalori kerana tidak menggunakan minyak yang banyak
  • sentiasa balikkan makanan untuk memastikannya masak dengan rata dan tidak hangus

Memanggang

  • antara kaedah memasak yang sihat kerana kurang menggunakan minyak
  • kaedah paling sesuai untuk memasak daging, ayam dan ikan
  • menaikkan aroma makanan sambil mengekalkan jusnya

Mereneh (sup)

  • dapat melembutkan makanan liat seperti daging
  • buang lemak pada daging sebelum memasak atau buang lapisan lemak yang timbul pada permukaan sup
  • tambah sayuran pada sup untuk hidangan lengkap dan berkhasiat

 

Jom terus amalkan pemakanan sihat di rumah. Bersama-sama kita mengelak COVID-19 dan mencegah penyakit tidak berjangkit. Jika ada sebarang pendapat kongsikan di ruangan komen di bawah. Ikuti Jobstore.com untuk pelbagai panduan pekerjaan di Malaysia dan informasi terkini.


Rosalinda is a content writer who writes career-related and lifestyle contents in Malay language. Rosalinda has a sweet tooth and can’t resist ice-cream.

Reach me at rosalinda@jobstore.com

SHARE ON