10 Watak Bos Yang Perlu Anda Ketahui

10 Watak Bos Yang Perlu Anda Ketahui

Posted by

Bakal menempuhi hari pertama bekerja pada bulan depan? Tentunya persoalan pertama yang menganggu fikiran anda ketika ini adalah mengenai karakter bos dan rakan sekerja. Siapa yang tidak risau kalau dapat bos yang bengis macam singa lapar? Kalau boleh mestilah kita mahukan pihak atasan yang bertimbang rasa dan prihatin terhadap pekerja, kan? 

Hakikatnya, peranan bos penting kepada organisasi dan kerjaya seseorang. Kami kongsikan 10 watak bos di tempat kerja yang boleh menceriakan hari-hari anda di pejabat dan tidak kurang juga memeningkan kepala. Walau apa jua ragam mereka, buatlah pertimbangan sewajarnya sama ada mahu bertahan atau angkat kaki dari organisasi itu.

 

1. Bos idaman ramai

  • Mereka adil, bertimbang rasa, sentiasa positif dan menyokong pekerja dalam setiap perkara. Bos idaman ramai juga merupakan seorang pemimpin yang berkaliber. Anda sangat bertuah jika memiliki bos dengan perwatakan ini.

 

2. “Buddy-boss”

  • Jangan bimbang jika bos mahu turut serta makan tengah hari bersama kerana dia mungkin mahu berkawan berbanding dilihat sebagai majikan. Namun, itu bukan bermakna bos tidak boleh mengambil tindakan atas kecuaian dan salah laku anda.

 

3. Bos halimunan

  • “Kejap ada, kejap hilang”, kewujudan mereka tidak disedari di pejabat kerana sentiasa sibuk dengan  pelbagai urusan. Ia mungkin disebabkan mereka tidak mahu mengambil tahu atau tidak mahir dalam sesuatu perkara. Sentiasa berhubung dengan bos anda bagi mengelak sebarang salah faham mengenai tugas.

 

4. Bos aneh

  • Personaliti bos ini boleh menjadi sangat baik dan dalam masa mengelirukan pekerja dengan jangkaan-jangkaan tidak realistik. Mereka juga boleh bersikap pilih bulu jika tidak kena gaya.

 

5. Bos gila kerja

  • Kebanyakan masa dihabiskan di pejabat dan jarang mengambil cuti. Bertabahlah jika terpaksa membatalkan temu janji makan malam dengan pasangan/keluarga di saat akhir kerana bos anda tiba-tiba meminta kerja lebih waktu.

 

6. Bos gila kuasa

  • Bos yang paling sukar dihadapi kerana mempunyai mentaliti “saya adalah bos” dalam setiap perkara dan anda tiada hak untuk mempersoalkan setiap permintaan itu. Langkah paling mudah, lakukan sahaja tugasan seperti diarahkan selagi tidak keterlaluan dan melanggar batasan kerja.

7. Bos kaki jerit

  • Sekiranya mempunyai bos kaki jerit, pastikan segala arahan mereka dipatuhi segera. Jangan cuba-cuba nak berlengah kalau tidak mahu jeritan maut menggegarkan pejabat. Bagaimanapun, di luar waktu kerja kebiasaannya bos kaki jerit mudah didekati, cubalah borak tentang isu bola atau pelancongan  dengan mereka.

8. Bos singa

  • Personaliti bos singa lebih digeruni berbanding bos kaki jerit. Dengar tapak kaki mereka masuk ke pejabat sudah cukup untuk membuatkan pekerja panik dan berlari ke tempat masing-masing. Bos singa mampu melakukan apa sahaja termasuk menengking dan mengugut orang bawahan.

 

9. Bos “perfectionist”

  • Memang memeningkan kepala jika bekerja dengan bos yang terlalu mementingkan kesempurnaan hingga segala benda mahu disemak satu persatu. Sikap cerewet itu akan menyebabkan anda terpaksa mengemaskini laporan atau tugasan berkali-kali sehingga mereka berpuas hati.

 

10. Bos paranoid

  • Sentiasa tidak senang duduk dan menganggap pekerja bercerita buruk mengenai mereka di belakang. Sampai satu tahap bos paranoid mungkin akan berpura-pura baik dengan anda untuk mengetahui sama ada wujud sebarang pakatan untuk menjatuhkannya.

 

Kesimpulannya, bukan mudah untuk bergelar seorang bos kerana mereka perlu mempelbagaikan watak untuk mengawal dan  menyeimbangkan suasana di tempat kerja. Kongsikan pengalaman anda dengan kami di ruangan komen di bawah dan terus ikuti Jobstore.com untuk pelbagai informasi terkini mengenai peluang pekerjaan.

 

Rosalinda is a content writer who writes career-related and lifestyle contents in Malay language. Rosalinda has a sweet tooth and can’t resist ice-cream.

Reach me at rosalinda@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *