E-wallet adalah sebuah peranti elektronik yang membenarkan pengguna untuk membuat transaksi menerusi komputer atau telefon pintar peribadi. Fungsi dompet digital tersebut terbukti cepat dan mudah lantas menjadikan ia salah satu ciptaan terbaik pada zaman berteknologi tinggi kini. Seperti kad kredit atau debit, kebanyakan e-wallet dihubungkan terus dengan akaun bank individu dan dilindungi dengan kata laluan serta pengenalpastian. 

Malaysia dianggap sebagai pasaran utama buat pertumbuhan penggunaan e-wallet sebagaimana dipersetujui oleh pakar-pakar industri. Pertumbuhan tersebut dipengaruhi oleh budaya serta minat rakyat Malaysia yang suka akan tawaran diskaun dan promosi. Justeru itu, semakin kerap individu menggunakan aplikasi e-wallet, semakin tinggi peluang mereka untuk menerima ganjaran yang menarik untuk pelbagai jenis jenama atau perkhidmatan. 

Dengan harapan untuk mengubah Malaysia menjadi negara tanpa tunai menjelang tahun baru 2020 ini, Bank Negara Malaysia (BNM) telah meluluskan beberapa e-wallet berlesen seperti berikut:

 

Sumber Gambar: Malaysia IT Fair

GrabPay

Cara pembayaran: kod QR, pembayaran dalam aplikasi

Dianugerahkan sebagai aplikasi e-wallet terbaik Malaysia oleh Malaysian e-Payments Excellence Awards 2019, GrabPay terus-menerus menjadi pilihan ramai pengguna di mana mereka turut boleh akses pelbagai perkhidmatan dalam satu aplikasi mudah alih seperti GrabCar, GrabFood, GrabDelivery dan lain-lain.

 

Sumber Gambar: liveatpc.com

Boost

Cara pembayaran: kod QR, pembayaran dalam aplikasi

Disokong oleh Axiata Group Berhad, Boost turut meraih perhatian para pengguna sebagai salah satu dompet digital yang sering digunakan untuk membuat pembayaran. Boost juga menawarkan bermacam ganjaran dan cashback yang lumayan buat pengguna. Anda turut boleh membuat pembayaran di pelbagai kedai, termasuk di pasar malam serta foodtruck!

 

Sumber Gambar: ShopBack

Touch ‘n Go eWallet

Cara pembayaran: kod QR

Touch ‘n Go bukanlah suatu nama yang asing lagi. Selain daripada bayaran tol, Touch ‘n Go eWallet juga membolehkan pengguna membuat pembayaran untuk pelbagai jenis perkhidmatan termasuk pengangkutan awam serta pembelian di kedai-kedai terpilih.

 

Sumber Gambar: MYC!

vcash

Cara pembayaran: kod QR

Vcash milik Digi Malaysia merupakan salah satu dompet digital lokal pertama menawarkan kemudahan pembayaran tanpa tunai. Mereka juga adalah antara yang pertama menawarkan pembayaran tanpa tunai untuk petrol hasil perkongsian bersama Petronas.

 

Sumber Gambar: The Star Online

WeChat Pay

Cara pembayaran: kod QR

WeChat, sebuah perkhidmatan pesanan segera popular menawarkan WeChat Pay untuk pembayaran tanpa tunai serta memberi kemudahan buat pengguna untuk membeli tiket bas. Pengguna juga boleh menggunakan e-wallet WeChat Pay tersebut di China dengan menambah nilai mata wang China dan ringgit Malaysia secara berasingan.

 

Sumber Gambar: The Bulging Wallet

BigPay

Cara pembayaran: kod QR, kad prabayar, Near Field Communication (NFC)

Jika anda sering menaiki pesawat AirAsia, sudah tentu anda pernah dengar tentang BigPay. Dengan ciri kad prabayar mereka, pengguna boleh menggunakan BigPay seperti kad kredit dilengkapi kemudahan untuk pembelian dalam talian, di kedai-kedai, pelbagai perkhidmatan serta mengeluarkan wang di mesin ATM.

 

Sumber Gambar: ohsem

FavePay

Cara pembayaran: kod QR

FavePay hanya boleh digunakan untuk perkhidmatan terpilih di dalam aplikasi mudah alih Fave sahaja. Para pengguna perlu isikan nombor kad bank peribadi sebelum membuat sebarang pembayaran tanpa tunai dan terima cashback lumayan dengan setiap pembelian.

 

Sumber Gambar: The Straits Time

AliPay

Cara pembayaran: kod QR

Antara e-wallet terawal diperkenalkan, AliPay membolehkan pengguna untuk membuat pembelian, transaksi, bayar segala bil dan sebagainya dengan hanya satu klik pada aplikasi mereka. Selain daripada kad bank China, pengguna antarabangsa turut boleh menggunakan AliPay tanpa kad bank China tersebut dengan mengikuti tips yang diberikan di sini.

 

Sumber Gambar: The Star Online

Aeon Wallet

Cara pembayaran: kod QR, kad prabayar Visa

Buat mereka yang selalu ke Aeon, aplikasi dompet digital Aeon Wallet akan mengubah proses pembayaran anda dengan lebih mudah dan pantas. Anda hanya perlu isi maklumat kad Visa Aeon Member Plus atau kad kredit Aeon anda ke dalam e-wallet tersebut. Kumpul mata ganjaran sekarang dan tukarkan ia kepada wang tunai!

 

Sumber Gambar: Business Today

KiplePay

Cara pembayaran: kod QR

KiplePay merupakan sejenis e-wallet terbaru dan sedang giat menempah nama dalam industri FinTech. KiplePay adalah akaun prabayar yang anda boleh gunakan untuk online shopping dan pembayaran tanpa tunai untuk segala bil, melakukan transaksi tunai dan lain-lain dengan pelbagai saluran tambah nilai.

 

Sumber Gambar: Lowyat.NET

TaPay

Cara pembayaran: kod QR

Pembayaran tanpa tunai kini lebih mudah dengan TaPay! Semakin banyak anda gunakan e-wallet tersebut, semakin banyak cashback dan ganjaran menanti anda. Pengguna akan menerima notis dengan setiap transaksi yang dilakukan serta menyimpan kad-kad loyalti mereka di dalam TaPay untuk kesenangan mereka.

 

Sumber Gambar: QBpay

QBpay

Cara pembayaran: kod QR

Sebuah lagi dompet digital yang semakin meningkat naik, QBpay menawarkan pelbagai kemudahan untuk para pengguna. Ianya termasuk ganjaran dengan hanya menonton iklan di dalam aplikasi, Peer2Peer Transfer, tawaran mingguan dan bar carian lokasi untuk mencari tawaran menarik berdekatan anda.

 

Sumber Gambar: Rojak Daily

PrestoPay

Cara pembayaran: kod QR

Presto adalah sebuah aplikasi pemasaran sosial dan PrestoPay merupakan dompet digital mereka yang membolehkan anda untuk membuat transaksi dan pembayaran dengan cepat dan mudah. Anda boleh gunakan PrestoPay untuk membayar bil, tambah nilai nombor telefon, beli tiket wayang dan bermacam lagi.

 

Apakah e-wallet kegemaran anda? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Ikuti Jobstore.com untuk lebih artikel gaya hidup, informasi kerjaya dan peluang pekerjaan baru!


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Reach me at nurin@jobstore.com

SHARE ON