Tempoh lapan hingga sembilan jam berada di pejabat merupakan waktu yang mencabar buat seseorang dalam mengawal nafsu makan. Walaupun setiap hari anda berkobar-kobar untuk mengawal pemakanan dan makan secara sihat tetapi sering kali anda tergelincir dari landasan.
 
Semua itu gara-gara tabiat gemar mengunyah tanpa henti. Ibaratnya, tidak sempurna tugasan harian  tanpa menikmati sebarang keropok mahu pun kekacang. Sampai satu tahap, walaupun perut sudah kenyang tetapi keinginan untuk mengunyah sesuatu masih lagi membuak-buak hingga tamat waktu kerja.
 
Mengunyah menjadi kelaziman kerana mampu mengembalikan semula fokus setelah keletihan atau diserang rasa mengantuk di pejabat tetapi jika sudah berlebihan tanpa kawalan anda mungkin perlu ikuti tips seperti di bawah untuk menghentikan tabiat tersebut.
 
 

1. Makan mengikut jadual

Jangan sesekali mengabaikan hidangan sarapan pagi dan tengah hari ketika di pejabat kerana boleh menyebabkan anda terlalu lapar hingga berisiko makan secara berlebihan daripada jumlah yang sepatutnya. Sekali pun terpaksa bekerja lebih masa, luangkan antara 15 ke 20 minit untuk menikmati makan malam anda.
 

 2. “Hara hachi bu”

“Hara hachi bu” merupakan perumpamaan Jepun yang membawa maksud berhenti  sebelum kenyang atau berhenti makan apabila perut sudah 80% penuh.  Gaya pemakanan ini turut menjadi amalan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membolehkan beliau kekal sihat dan aktif walaupun berusia 95 tahun.
 
 

3. Gantikan dengan snek sihat

Terdapat beberapa snek sihat yang boleh dijadikan alternatif kepada masalah gemar mengunyah dan dalam masa sama mampu memberi tenaga kepada anda sepanjang berada di pejabat.
  • Kekacang/ bijirin
Kekacang merupakan sumber serat yang baik kerana kaya dengan protein dan mempunyai kandungan lemak yang rendah. Selain mengenyangkan pengambilan kekacang mampu mengurangkan risiko penyakit jantung dan diabetis. Antara kekacang itu ialah almond, hazel, macadamia dan walnut.
 
  • “Yogurt Greek”
Memiliki kandungan protein hampir dua kali ganda dan kurang laktosa / gula di dalamnya.  Yogurt Greek juga boleh dimakan bersama buah-buahan.
 
  • Buah-buahan (segar/kering)
Snek yang terbaik bukan sahaja untuk kesihatan tubuh tetapi juga kecantikan. Jadi, tidak hairanlah pepatah Barat mengatakan sebiji epal sehari menjauhkan anda daripada doktor. Selain itu antara buah-buahan kering yang boleh dimakan ialah prun, kurma dan aprikot.
 

4. Senaman ringan

Lakukan senaman ringan di sekitar meja kerja anda bagi melupakan seketika keinginan untuk mengunyah.  Anda juga boleh ke tandas atau berbual seketika dengan rakan pejabat.
 
 

5. Minum segelas air masak

Jika tiba-tiba rasa mahu mengunyah, cuba minum segelas air masak.
 
 
Sebarang pendapat kongsikan di ruangan komen di bawah. Jangan lupa ikuti Jobstore.com untuk informasi gaya hidup, kerjaya dan peluang pekerjaan baru!
 

Rosalinda is a content writer who writes career-related and lifestyle contents in Malay language. Rosalinda has a sweet tooth and can’t resist ice-cream.

Reach me at rosalinda@jobstore.com

SHARE ON