Berbanding negara maju lain, trend pengangguran dalam kalangan graduan di Malaysia dilaporkan lebih tinggi berbanding bukan graduan. Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada suku pertama tahun 2019, negara merekodkan seramai 516,600 penganggur. Pada masa sama, seramai 238,286 penganggur termasuk 174,327 siswazah mendaftar sebagai pencari kerja aktif dengan JobsMalaysia di bawah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung.

 

Lambakan graduan yang masing-masing mempunyai bakat dan kebolehan tersendiri menyebabkan ruang serta peluang untuk mengisi kekosongan di pasaran kerja semakin lama semakin kompetitif. Namun, jangan cepat putus asa dengan nasib yang menimpa. Terus lipat gandakan usaha dan ikuti enam tips di bawah bagi membantu meningkatkan lagi kebolehpasaran anda agar lebih ‘awesome’ di mata prospek majikan.

 

1. Serlahkan ‘soft skill’ 

Komunikasi, kerjasama berpasukan, kaedah penyelesaian masalah dan berfikiran kreatif merupakan antara soft skill yang dititik beratkan oleh majikan di mana-mana organisasi. Jadi serlahkan soft skill anda dengan penuh keyakinan dan jangan segan untuk berkongsi pencapaian pengalaman lalu bagi membuktikan yang anda sememangnya memiliki sifat tersebut serta bukan fake semata-mata.

 

 

2. Bina imej yang kuat di media sosial

Media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter bukan sekadar tempat bersantai buat para graduan, bahkan boleh dimanfaatkan sebagai medan untuk membina jenama masing-masing sebagai influencer. Gunakan platform ini untuk menonjol dan memperkenalkan diri anda serta pengetahuan mengenai industri kerja yang dipohon. Apa yang penting, terus kekal aktif di media sosial atau anda juga boleh ke persidangan berkaitan dan jangan lupa kemas kini update terkini supaya kehadiran anda disedari bakal majikan.

 

3. Aktif dalam pertubuhan profesional 

Sekadar menyertai persatuan berkaitan industri tidak menjanjikan laluan mudah untuk menambat hati majikan sebaliknya, graduan diminta turut memainkan peranan dalam organisasi itu. Misalnya, anda mungkin boleh secara sukarela menawarkan diri menjadi individu yang bertanggungjawab mengendalikan jemputan dalam sesuatu acara yang dianjurkan. Aktif dalam persatuan dapat meluaskan lagi peluang anda dalam membina rangkaian sekali gus mewujudkan hubungan dengan pihak majikan.

 

 

4. Pelajari skil baharu dan tambah baik 

Kenal pasti skil yang amat dituntut majikan dan cuba kuasai kemahiran itu untuk tampil berbeza berbanding calon pencari kerja lain. Skil sentiasa perlu ditambah baik dari semasa ke semasa dan ia tidak hanya terhad kepada soal teknikal pekerjaan masing-masing tetapi juga membabitkan skil semasa temu duga dan kemampuan bercakap di depan orang ramai.

 

5. Rasai pengalaman dalam pengurusan

Manfaatkan peluang ketika menjalani latihan praktikal di organisasi selama dua hingga enam bulan untuk merasai selok-belok dalam hal pengurusan. Apa yang penting, sentiasa bersedia menghulurkan bantuan sekiranya pertolongan anda diperlukan oleh rakan senior. Amalan ini akan memberi kelebihan kepada anda agar lebih cekap jika terlibat dalam sebarang bentuk tugasan kelak.

 

 

6. Mantapkan resume anda

Resume sememangnya memainkan peranan penting sebagai gambaran pertama majikan terhadap anda.  Hasilkan resume yang komprehensif, mudah dan bersih untuk dibaca majikan di samping beri penekanan kepada pencapaian dan sumbangan anda. Penggunaan kata-kata kunci pada resume juga penting untuk membantu menonjolkannya.

 

Lekas ubah diri bagi memastikan kebolehpasaran anda dalam industri. Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Jangan lupa ikuti Jobstore.com untuk informasi gaya hidup, kerjaya dan peluang pekerjaan baru!

 


Rosalinda is a content writer who writes career and lifestyle contents in Malay language. Rosalinda has a sweet tooth and can’t resist ice-cream.

Reach me at rosalinda@jobstore.com

SHARE ON