Sebagai pekerja, kadar gaji bukan satu-satunya penyebab untuk kita kekal berkhidmat dengan majikan atau punca kita mencari majikan yang baru. Kini, para pekerja mengharapkan majikan untuk menawarkan jenis-jenis faedah yang pelbagai atau lain daripada yang lain demi kebajikan serta kelangsungan hidup mereka. Para majikan boleh menyesuaikan pakej faedah pekerja mengikut keperluan dan kemahuan pekerja mereka, tetapi terdapat juga beberapa faedah asas yang majikan harus dan wajib sertakan untuk pekerja. Mari kita lihat 11 jenis faedah pekerja yang komprehensif yang boleh ditawarkan kepada para pekerja seperti berikut:

 

1. Insurans Kesihatan

Insurans kesihatan merupakan asas dan keutamaan kepada jenis faedah pekerja yang komprehensif yang dikehendaki oleh semua pekerja. Tawaran insurans kesihatan yang berkualiti akan menempatkan majikan sebagai pilihan utama para pencari kerja. Sekiranya anda sebagai majikan mampu untuk menawarkan hanya satu jenis faedah pekerja sahaja, saya syorkan insurans kesihatan untuk diberikan kepada pekerja dan keluarga mereka. 

 

2. Insurans Hayat

Terdapat beberapa jenis insurans hayat yang terdapat di pasaran kini dan setiap jenis mempunyai komponen yang berbeza seperti jumlah insuran, simpanan dan komponen dividen, nilai wang tunai, unit dan lain-lain. Insuran hayat adalah salah satu jenis faedah pekerja yang komprehensif dan tidak ramai majikan yang menawarkan jenis faedah pekerja sebegini. Sekiranya ditawarkan, para pekerja semestinya akan menghargai usaha majikan dalam menjaga kebajikan mereka.

 

3. Fleksibiliti Waktu Bekerja

Dengan membenarkan para pekerja untuk mempunyai fleksibiliti waktu bekerja yakni merancang jadual serta persekitaran kerja dapat membantu mereka dari pelbagai aspek. Ianya termasuk dapat membantu mengurangkan perasaan ‘burnout’ disebabkan oleh bebanan atau tekanan kerja yang tiada kesudahan. Fleksibiliti bermakna para pekerja boleh berehat apabila keadaan di pejabat memerlukan tindakan sedemikian.

 

4. Bekerja Luar Dari Pejabat

Walaupun konsep bekerja luar dari pejabat tidak disenangi atau dipersetujui oleh sesetengah pekerja, faedah tersebut juga mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Antara kelebihan tersebut termasuk dapat meningkatkan kadar pengekalan pekerja, produktiviti bekerja, penjimatan kos elektrik, bekalan pejabat dan pelbagai lagi. 

 

5. Insurans Optik dan Pergigian

Pelan insuran pergigian direka untuk membantu melindungi kos para pekerja dalam mendapatkan penjagaan gigi yang diperlukan sama ada kecemasan atau demi pencegahan. Insuran optik pula merupakan pilihan majikan untuk dimasukkan ke dalam senarai faedah pekerja. Insuran tersebut membantu membayar pemeriksaan penglihatan, keperluan cermin mata baru dan sebagainya buat para pekerja.

 

6. Perbelanjaan Makan Tengahari

Alangkah indahnya jika majikan bermurah hati untuk menyediakan perbelanjaan makan tengahari buat para pekerja untuk sesuatu hari. Contoh kos makan tengahari pun tidak perlu terlalu tinggi, cukup sekadar RM10 hingga RM20 maksimum untuk seorang pekerja. Sudah semestinya jenis faedah tersebut dapat membantu mengurangkan beban kewangan yang mungkin dihadapi para pekerja. 

 

7. Percutian Tahunan

Setelah berpenat lelah bekerja dan bertungkus lumus mencapai sasaran yang dikehendaki syarikat, percutian tahunan merupakan salah satu jenis faedah pekerja yang komprehensif. Ianya juga tergolong sebagai ganjaran atau tanda penghargaan dari majikan terhadap segala usaha yang dilakukan dan dicapai oleh para pekerja. 

 

8. Subsidi Perjalanan dan Pengangkutan Awam

Subsidi perjalanan seperti minyak, tol dan lain-lain merupakan inisiatif faedah pekerja yang boleh majikan pertimbang untuk tawarkan kepada para pekerja yang memandu ke pejabat. Buat mereka yang menggunakan pengangkutan awam pula, subsidi seperti elaun bulanan juga merupakan jenis faedah pekerja yang komprehensif untuk diberi.

 

9. Kursus Latihan

Trend perniagaan akan sentiasa berubah dari masa ke semasa dan demi mempersiapkan para pekerja untuk perubahan tersebut, adalah baik sekiranya majikan dapat menyediakan kursus latihan sebagai salah satu jenis faedah pekerja yang komprehensif. Inisiatif tersebut akan membantu mengasah lagi bakat yang ada serta dapat meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi.

 

10. Bonus Tahunan

Bonus tahunan merupakan suatu bentuk ganjaran untuk para pekerja tetapi ianya juga tergolong sebagai jenis faedah pekerja yang komprehensif yang boleh ditawarkan. Dengan harapan melalui inisiatif tersebut para pekerja akan berasa lebih dihargai dan akan berasa lebih semangat untuk menyumbang kepada organisasi majikan.   

 

11. Bayaran Pendidikan

Bayaran pendidikan merupakan pilihan dan ianya bergantung kepada keperluan para pekerja serta organisasi sama ada untuk menawarkan faedah tersebut atau tidak. Walau bagaimanapun, inisiatif membayar pendidikan yang berkaitan dengan pekerjaan adalah cara terbaik untuk menambah pengetahuan dan kemahiran pekerja, yang kemudiannya boleh digunakan untuk membantu menjayakan lagi perniagaan majikan. 

Apakah jenis faedah pekerja yang ditawarkan oleh majikan anda? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Jangan lupa untuk ikuti Jobstore.com untuk informasi kerjaya, peluang pekerjaan baru dan banyak lagi.


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Reach me at: nurin@jobstore.com

SHARE ON