Anda berminat dalam bidang penulisan kreatif? Atau anda mempunyai personaliti lucu dan rajin berkongsi ‘meme’ buatan sendiri dengan rakan-rakan anda? Sekiranya jawapan anda adalah ya, anda boleh mempertimbangkan untuk memilih kerjaya sebagai copywriter. Skop kerja mereka termasuk menghasilkan ‘copy’ atau slogan menarik bagi memacu kempen pengiklanan sesebuah organisasi.

Seorang copywriter boleh menjadi kreatif mana pun dengan slogan mereka. Kita semua mesti kenal akan slogan-slogan iklan popular seperti Kit Kat ‘Berehat Sebentar Bersama Kit Kat’, McDonald’s ‘I’m Lovin’ It’, dan L’Oreal ‘Kerana Anda Begitu Berharga’ di radio, TV, majalah dan sebagainya. Slogan-slogan ‘catchy’ tersebut seolah melekat di kepala kita, dan ianya merupakan hasil kerja seorang copywriter yang bagus.

Skop Kerja

Tanpa slogan menarik yang dihasilkan oleh copywriter, sesebuah organisasi akan mengalami kesusahan dalam menjual produk mereka. Peranan seorang copywriter adalah sama pentingnya dengan peranan seorang jurutera data. Kedua-dua jawatan tersebut memberi impak besar terhadap imej serta reputasi suatu jenama atau sebuah organisasi. Skop kerja copywriter termasuk:

  • Menghasilkan kandungan menarik selaras dengan kehendak jenama atau organisasi.
  • Berkolaborasi dengan individu perhubungan awam atau pemasaran untuk sesuatu projek.
  • Setiap hasil kerja mestilah tidak mempunyai kesalahan, berkualiti tinggi dan mengikut garis panduan yang disediakan syarikat.
  • Menghasilkan pelbagai pilihan ‘copy’ sambil menyiapkan pelbagai projek lain dalam tempoh masa yang singkat.
  • Memikirkan tentang idea atau konsep berlainan dan membentangkannya kepada ahli-ahli kumpulan kreatif yang lain termasuk pengarah kreatif.
  • Memantau fasa pengeluaran, tempahan dan berhubung dengan individu kreatif lain.
  • Memasukkan SEO ke dalam salinan bagi meningkatkan trafik dan kedudukan di enjin carian.

Kadar Gaji

Kita semua sedia maklum bahawa kadar gaji seseorang bergantung kepada tahap kepakaran, pengalaman dan pelbagai faktor lain lagi. Tetapi, jumlah serta jenis pelanggan untuk kerjaya sebagai copywriter juga mempengaruhi kadar bayaran yang diterima. Menurut PayScale, kadar gaji purata copywriter di Malaysia adalah RM39,367.

  • 10% Gaji Tahunan: RM5,000
  • Gaji Tahunan Median: RM39,000
  • 90% Gaji Tahunan: RM62,000

Tahap Pendidikan & Pensijilan yang Diperlukan

Gabungan kedua-dua pendidikan dan pengalaman kerja adalah penting untuk kerjaya sebagai copywriter. Manakala untuk ‘fresh grad’, anda memerlukan sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda dalam Pengiklanan, Kewartawanan, Komunikasi atau Bahasa Inggeris sebagai sebahagian daripada kelayakan menjadi copywriter di Malaysia.

Walaubagaimanapun, anda tetap memerlukan sebuah buku atau portfolio untuk melayakkan diri anda untuk menjadi calon copywriter yang diburu bakal majikan. Portfolio tersebut boleh dikumpul sepanjang pengalaman anda semasa ‘internship’, kerja sambilan, ataupun pengalaman menulis untuk majalah kolej turut diambil kira.

Set Kemahiran Copywriter Dicari Majikan

Mempunyai pensijilan profesional dan portfolio sahaja tidak mencukupi untuk menjadi seorang copywriter. Adakah anda mempunyai set kemahiran atau kecekapan tertentu untuk menyesuaikan diri dengan pekerjaan tersebut? Jenis kemahiran yang diperlukan copywriter adalah:

Kreativiti – Seseorang perlu mempunyai minda yang kreatif atau mempunyai cara bermain dengan kata-kata bagi menarik perhatian pelanggan sesebuah organisasi dan jenama.

Terperinci – Kerja yang dihasilkan haruslah tidak mempunyai sebarang kesalahan dan cukup menarik untuk tarik perhatian pelanggan. Kemahiran dalam membuat kajian adalah turut sama penting.

Pengurusan masa – Individu perlu mempunyai pengurusan masa yang baik kerana kebanyakan projek perlu disiapkan dalam tempoh masa yang singkat, sambil menyelesaikan projek-projek lain pada masa yang sama.

Komunikasi – Kemahiran berkomunikasi yang bagus diperlukan kerana pekerjaan copywriter banyak berurusan dengan individu pakar yang lain.

Media Sosial & SEO – Individu berminat perlu mempunyai pemahaman yang kuat tentang nuansa-nuansa media sosial serta ‘Search Engine Optimisation’ (SEO) bagi melayakkan diri sebagai copywriter yang bagus.

Berminat untuk menjadi seorang copywriter? Anda boleh cuba memohon jawatan tersebut di sini. Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Jangan lupa juga untuk ikuti Jobstore.com untuk informasi kerjaya, peluang pekerjaan baru dan pelbagai lagi!


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Reach me at: nurin@jobstore.com

SHARE ON