Mereka yang mengembara untuk tujuan perniagaan dan yang mengembara untuk berlibur mempunyai keinginan, dan keperluan perjalanan yang berbeza. Perindustrian liburan lebih fokus kepada rekreasi, hiburan, sukan serta pelancongan. Manakala kembara perniagaan pula lebih terhad pilihannya. 

Individu yang mengembara untuk perniagaan memerlukan kemudahan yang boleh membantu melancarkan urusan perniagaan mereka terutamanya di lapangan terbang. Memandangkan mereka banyak menghabiskan masa menunggu waktu perlepasan atau ketibaan pesawat.

Tidak hairanlah jika kebanyakan lapangan terbang utama akan cuba memenuhi keperluan pengembara perniagaan dengan menyediakan pelbagai jenis kemudahan. Globehunters; laman web perjalanan udara di UK telah menyenaraikan lapangan terbang terbaik di dunia untuk para eksekutif seperti berikut.

 

Sumber Gambar: Passenger Terminal Today

Lapangan Terbang Narita, Jepun

Lapangan Terbang Narita cukup terkenal di kalangan para eksekutif kerana menyediakan hotel kapsul bagi mereka yang ingin berehat atau mengisi masa menunggu ketibaan pesawat jauh daripada hiruk-pikuk orang ramai.

Restoran halal juga boleh didapati di lapangan terbang tersebut untuk kesenangan pengembara Muslim. Kemudahan lain seperti bilik mandi serta bilik tidur turut boleh didapati di Lapangan Terbang Narita.

 

Sumber Gambar: Traveller.com.au

Lapangan Terbang Los Angeles (LAX), Amerika Syarikat

Tahukah anda bahawa Lapangan Terbang LAX merupakan lapangan terbang kedua paling sibuk di Amerika Syarikat, dan juga keempat paling sibuk di dunia? Kebanyakan pengembara akan mengelak daripada mendarat di sini. Akan tetapi, Lapangan Terbang LAX menyediakan sejumlah lounge atau bilik istirehat untuk kemudahan orang awam. Para eksekutif kini boleh menyiapkan kerja mereka dengan tenang dan lancar di setiap lounge yang tersedia.

 

Sumber Gambar: Buying Business Travel

Lapangan Terbang Frankfurt, Jerman

Lapangan Terbang Frankfurt adalah hab pengangkutan udara tersibuk di Jerman dengan jumlah penumpang sebanyak 64,500,386 secara tahunan. Lapangan terbang ini mempunyai lebih daripada 15,000 ruang parkir kenderaan dengan pilihan seperti premium dan corporate yang disediakan khas untuk para pengembara korporat. Kemudahan pengangkutan awam seperti bas dan penghubung kereta api yang pelbagai juga boleh diakses orang awam untuk ke bandar.

 

Sumber Gambar: Blue Swan Daily

Lapangan Terbang Amsterdam Schiphol, Netherlands

Lapangan Terbang Amsterdam Schiphol sesuai untuk mereka yang mengembara untuk tujuan perniagaan dengan kemudahan seperti ruang kerja dan bilik persidangan profesional. Kemudahan lain seperti wifi percuma turut disediakan bagi kesenangan para eksekutif untuk menyiapkan tugasan mereka di mana sahaja. Pertolongan cemas dengan kehadiran doktor dan jururawat terlatih juga disediakan bagi orang awam yang memerlukan pertolongan perubatan.

 

Sumber Gambar: The Business Journals

Lapangan Terbang George Bush Houston Intercontinental, Amerika Syarikat

Dinobat sebagai lapangan terbang bertaraf empat bintang oleh Skytrax pada tahun 2019 ini, kemudahan seperti wifi percuma, tempat pengecasan bateri, restoran, perkhidmatan pengangkutan, dan pelbagai lagi boleh diakses orang awam di Lapangan Terbang George Bush Intercontinental tersebut. Bagi para pengembara korporat pula, mereka turut disediakan pelbagai lounge penerbangan berbeza untuk beristirehat atau menyiapkan kerja.

 

Sumber Gambar: SEGD

Lapangan Terbang Hartsfield-Jackson Atlanta, Amerika Syarikat

Dikenali sebagai lapangan terbang tersibuk di dunia, para pengembara boleh mengakses pelbagai jenis kemudahan di sini. Terletak berdekatan dengan pusat bandar Atlanta, Lapangan Terbang Hartsfield-Jackson hanya dalam 15 minit perjalanan dengan kereta untuk ke bandar. Selain menyediakan perkhidmatan kereta sewa, lapangan terbang tersebut turut mempunyai empat penghubung kereta api berbeza yang datang setiap 2 minit untuk kemudahan orang awam.

 

Sumber Gambar: Munich Airport

Lapangan Terbang Munich, Jerman

Dikenali sebagai salah sebuah lapangan terbang terbaik di rantau Eropah, Lapangan Terbang Munich di Jerman masih mengekalkan prestasi konsisten mereka menerusi penyediaan fasiliti yang efisien dan berkualiti untuk kegunaan para eksekutif.

Kemudahan seperti Napcabs, zon pengecasan sehingga ke perkhidmatan pengangkutan boleh diakses orang awam. Selain itu, terdapat juga beberapa perkhidmatan urut, dandanan rambut serta servis kilat kasut disediakan buat mereka yang sentiasa berkejar masa dari satu tempat ke tempat yang lain.

 

Sumber Gambar: Travel Daily Media

Lapangan Terbang Madrid Barajas, Sepanyol

Lapangan Terbang Madrid Barajas merupakan hab pengangkutan terkemuka di Sepanyol di kalangan para eksekutif. Lapangan terbang tersebut adalah kedua terbesar di Eropah, dan juga terbesar di Sepanyol. Terletak di tengah bandar Madrid, lapangan terbang ini menawarkan pelbagai perkhidmatan pengangkutan seperti shuttle serta penyewaan kereta untuk kemudahan para pelancong korporat.

 

Sumber Gambar: Japan Visitor

Lapangan Terbang Haneda, Jepun

Turut dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo, lapangan terbang ini telah memenangi tempat kedua untuk anugerah 2019 Skytrax World Airport Awards. Lapangan terbang tersebut merupakan gabungan hab kebudayaan serta pengangkutan udara yang berkhidmat untuk the Greater Tokyo Area di Jepun. Terletak tidak jauh daripada pusat bandar, Lapangan Terbang Haneda menyediakan akses wifi tanpa had serta bilik istirehat yang dihias mewah untuk kegunaan para eksekutif.

 

Sumber Gambar: Qantas

Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, UAE

Sebut sahaja Dubai pasti ramai yang mengetahui akan kemewahan yang terdapat di bandar tersebut, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai juga tidak terkecuali. Para eksekutif akan mempunyai akses kepada pelbagai kemudahan mewah seperti bilik istirehat premium, pilihan makanan tempatan serta antarabangsa, barangan mewah bebas cukai, dan bermacam lagi perkhidmatan bertaraf 5 bintang sedia diakses oleh pelancong dan para eksekutif.

 

Pernahkah anda mendarat di mana-mana lapangan terbang seperti di atas? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Jangan lupa ikuti Jobstore.com untuk informasi kerjaya, peluang pekerjaan dan pelbagai lagi.


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Reach me at: nurin@jobstore.com

SHARE ON