Sebab Tidak Menerima Jawapan Permohonan Kerja

10 Sebab Tidak Menerima Jawapan Permohonan Kerja

Posted by

Terdapat pelbagai sebab mengapa anda tidak menerima khabar berita daripada majikan selepas permohonan kerja. Sama juga situasinya dengan pengurus pengambilan pekerja, beberapa minggu telah berlalu dan mereka tidak juga memberi sebarang respon kepada anda setelah menghadiri jemputan temuduga. Situasi tersebut saban hari akan membuat kita sebagai pencari kerja semakin resah dengan keadaan yang tidak pasti.

Anda mesti tertanya-tanya wajarkah anda teruskan memohon pekerjaan lain sehingga mendapat jawapan tentang jawatan yang telah dipohon atau teruskan sahaja menunggu? Ketika berada dalam situasi sebegini, adalah bagusnya jika anda teruskan sahaja misi pencarian pekerjaan baru sehingga anda memperoleh tawaran kerja. Proses pencarian kerja ini berjalan dengan pantas, dan sehingga anda belum mendapat perjanjian formal untuk mula bekerja, pencarian haruslah diteruskan.

Mengapa kebanyakan syarikat tidak memaklumkan mengenai kedudukan permohonan kerja seseorang? Dan apa yang boleh anda lakukan sekiranya anda menghadapi situasi tersebut? Kami kongsikan 10 sebab tidak menerima jawapan permohonan kerja, dan apa yang boleh anda lakukan untuk mengemas kini status permohonan kerja anda.

 

1. Majikan Tidak Wajib Untuk Maklum Pemohon Kerja

Ianya mungkin suatu tindakan yang wajar dilakukan, tetapi majikan sebenarnya tidak wajib untuk memaklumkan pemohon kerja tentang status permohonan kerja mereka. Sesetengah majikan akan memaklumkan, dan kebanyakan pula tidak akan berbuat sedemikian.

Syarikat berskala besar berkemungkinan mempunyai perisian yang mengautomasikan proses tersebut, dan boleh menghantar pengesahan perakuan bahawa permohonan kerja seseorang telah diterima. Sistem tersebut turut boleh mengemas kini kedudukan yang anda berada di dalam proses permohonan.

Buat syarikat yang lebih kecil pula, mereka tidak mempunyai sumber untuk membuat susulan dengan setiap calon, terutamanya jika terdapat sejumlah orang yang memohon jawatan tersebut. Oleh itu, hanya mereka yang ingin ditemuduga oleh majikan sahaja akan dimaklumkan.

 

2. Tidak Punya Kelayakan Yang Dicari

Untuk memohon sebarang jawatan, tahap kelayakan seseorang adalah penting bagi mengetahui jika anda merupakan calon terbaik untuk jawatan yang dipohon. Sekiranya anda memohon jawatan di luar bidang kuasa anda, terdapat kemungkinan permohonan anda akan ditolak serta merta dengan sebab tidak punya kelayakan yang dicari majikan.

 

3. Resume Tidak Sepadan Dengan Skop Kerja Jawatan

Anda mungkin berasa bahawa anda mempunyai kelayakan yang dicari, tetapi majikan mungkin tidak dapat mengenal pasti sekiranya anda merupakan calon terbaik untuk jawatan yang dipohon. Ianya penting untuk memastikan resume anda menyenaraikan kesemua kekuatan dan tahap kelayakan anda berserta pengalaman yang anda ada bagi mengukuhkan kedudukan permohonan anda.

 

4. Resume Anda Caca Marba

Resume anda bukan sahaja berfungsi sebagai alat pengenalan diri serta latarbelakang kerjaya anda. Tetapi majikan juga boleh menganalisa tentang keperibadian diri seseorang melalui cara penyediaan atau penulisan resume yang diberi. Sekiranya anda menghantar resume dengan format yang caca marba, kesilapan tatabahasa di mana-mana; jangan persoal mengapa majikan menolak permohonan kerja anda.

 

5. Tidak Menyediakan Dokumen Yang Diperlukan

Sekiranya bakal majikan meminta ‘cover letter’, contoh penulisan, rujukan, atau apa sahaja bahan lain untuk menyokong permohonan kerja anda; anda perlulah menyediakan dokumen-dokumen berkenaan buat rujukan mereka. Ianya dapat membantu mengukuhkan lagi kedudukan permohonan kerja anda.

 

6. Syarikat Telah Memilih Pemohon Lain

Antara sebab tidak menerima jawapan permohonan kerja adalah kerana syarikat atau bakal majikan telah memilih pemohon lain yang lebih berkelayakan. Akan tetapi, iklan jawatan kosong syarikat tersebut masih tidak lagi dikeluarkan daripada paparan laman cari kerja.

 

7. Pelan Pengambilan Pekerja Syarikat Telah Berubah

Syarikat berkenaan mungkin telah memutuskan untuk tidak mengisi jawatan kosong yang diiklankan atau mungkin juga telah mengubah skop kerja atau kelayakan sesuatu jawatan. Isu belanjawan turut mengakibatkan penundaan proses pengambilan pekerja baru.

Antara sebab lain termasuk pengurusan syarikat telah berubah, lantas membekukan proses pengambilan pekerja buat sementara waktu. Atau juga calon dalaman telah dipilih untuk mengisi jawatan kosong tersebut atau telah dipromosikan.

 

8. Proses Penilaian Mengambil Masa Lebih Lama

Antara sebab tidak menerima jawapan permohonan kerja adalah berkemungkinan bakal majikan hendak mengumpul kesemua resume yang diterima dahulu sebelum memulakan proses penilaian pengambilan pekerja baru dan temuduga.

 

9. Kesesuaian Dengan Budaya Syarikat

Sebab tidak menerima jawapan permohonan kerja adalah cara pembawaan kendiri semasa sesi temuduga. Pembawaan diri atau cara percakapan anda semasa sesi temuduga dapat mencerminkan tahap kesesuaian anda dengan budaya syarikat bakal majikan. Mungkin nampak remeh, tetapi ‘first impression’ memainkan peranan yang sangat penting untuk pencari kerja.

 

10. Media Sosial

Media sosial termasuk dalam antara sebab tidak menerima jawapan permohonan kerja anda. Pada zaman berteknologi tinggi kini, pelbagai maklumat boleh didapati dengan hanya satu klik sahaja. Oleh itu, sekiranya anda adalah seorang pengguna tegar media sosial; jagalah tutur kata di setiap ‘post’ anda dan hindari daripada bercakap buruk tentang bakal majikan. Lagi pula jika anda sejenis membiarkan laman media sosial anda untuk tayangan umum.

 

 

Apa Yang Anda Boleh Lakukan?

Apakah cara untuk memperoleh jawapan tentang status permohonan kerja anda? Pilihan pertama adalah dengan tidak melakukan apa-apa, dan tunggu sahaja respon daripada pihak bakal majikan. Cara ini sesuai jika anda telah memohon sejumlah jawatan kosong atau telah menghadiri beberapa sesi temuduga.

Cara lain yang lebih efektif adalah dengan membuat e-mel susulan dengan majikan untuk mendapat kepastian. Pastikan anda edit contoh mengikut keperluan anda.

Oleh itu, sebelum anda memohon sesuatu jawatan kosong sila pastikan anda menepati ciri-ciri yang dicari atau diinginkan oleh bakal majikan. Sekiranya beberapa minggu telah berlalu, anda boleh menghantar e-mel susulan kepada bakal majikan untuk mengemas kini status permohonan anda.

Kongsikan pengalaman anda mencari kerja di ruangan komen di bawah. Jangan lupa ikuti Jobstore.com untuk informasi kerjaya, peluang pekerjaan baru dan pelbagai lagi.


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *