Selfie merupakan trend yang popular di kalangan netizen pada zaman sekarang, namun tabiat tersebut merupakan simbol narsisisme terhadap golongan yang ketagih mengambil selfie yang berlebihan setiap hari dan mengagung-agungkan diri sendiri di media sosial. Kami tahu perkara ini masih berlaku pada keliling anda dalam kehidupan harian.

 

 

Apakah maksud narsisisme?

 

 

Menurut Kamus Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, definisi narsisisme (narcissism) ialah perihal atau keadaan terlalu memuja atau mengagumi diri sendiri.

Selain melihat gelagat-gelagat contact anda di media sosial, anda juga sedar mereka membuat posting tentang diri mereka semata-mata untuk perhatian. Narsisisme sebenarnya bukan sejenis personaliti biasa yang anda sangkakan, namun ia merupakan masalah serius yang mempunyai ciri-ciri tertentu yang telah dikaji dan dikategorikan oleh pakar-pakar psikologi. Secara umumnya, narsisisme merupakan keadaan minda yang membuatkan seseorang individu berasa kewujudan mereka lebih penting dan berharga daripada orang lain. Dengar macam obses diri sendiri, kan? 😒

 

Grandiose Narcissism

Jenis narsisisme ini mempunyai tanda-tanda yang berkait dengan narsisisme, termasuk sikap extrovert, terdesak mahukan perhatian dan kecenderungan untuk menjadi “berkuasa” dalam apa-apa perkara yang dilakukan. Seseorang yang mempunyai tanda-tanda tersebut lebih cenderung untuk memilih kerjaya yang mempunyai kuasa seperti ahli politik dan selebriti, namun mereka berkemungkinan besar untuk memiliki status tinggi dan mendapat perhatian daripada semua orang.

 

 

Vulnerable Narcissism

Berbeza dengan grandiose narcissism, golongan vulnerable narcissism merupakan golongan yang tidak banyak bercakap (atau pendiam), namun golongan ini adalah manusia yang dianggap diam-diam ubi berisi kerana mereka mudah terasa hina jika ada pihak menolak pandangan mereka.

 

 

Ciri-ciri personaliti narsisistik

 

 

Selain ciri-ciri yang ada pada golongan grandiose narcissism dan vulnerable narcissism, ada beberapa ciri lain yang anda boleh lihat pada golongan-golongan tersebut: 

  • Tiada rasa empati terhadap perasaan dan keperluan orang lain.
  • Terlalu sombong dan angkuh kerana diri mereka penting daripada orang lain.

  • Sentiasa mengimpikan perkara-perkara yang mampu menyempurnakan hidup mereka seperti kuasa yang tidak terbatas, kecantikan yang menawan, memiliki barangan mewah (materialistik) dan sebagainya.

  • Attention seeker kerana mereka dahagakan perhatian dan sanjungan dari orang ramai.

  • Mahukan semua jangkaan dan permintaan dipenuhi disebabkan hak dan keistimewaan mereka yang tinggi.

  • Sentiasa berasa cemburu dengan kelebihan dan keupayaan orang lain.

 

Berdasarkan ciri-ciri tersebut, budaya narsisisme akan membawa kesan yang negatif terhadap kehidupan seseorang. Mereka akan kehilangan percaya serta disisih oleh masyarakat sekeliling disebabkan dahagakan perhatian dan akan mengakibatkan gangguan psikologi yang membahayakan kesihatan mental. Tambahan pula, golongan narsisistik juga akan mengalami kesulitan hubungan mereka bersama pasangan dan perlu belajar menyesuaikan diri secara sedar untuk memahami perasaan dan keperluan pasangan serta orang sekeliling.

 

 

Kesimpulannya, narsisisme merupakan satu “penyakit” yang merosakkan keperibadian diri dan pada masa yang sama membuat masyarakat sekeliling merana disebabkan gelagat-gelagat golongan narsisistik yang dianggap “materialistik” atau “tidak berhati perut”. Oleh itu, kami nasihatkan anda jauhkan diri dari ciri-ciri narsisisme dan golongan narsisitik yang cuba memerangkap minda anda supaya anda fokuskan perkara-perkara yang baik dalam kehidupan harian anda.

 

Jangan lupa juga untuk ikuti Jobstore untuk informasi kerjaya, peluang pekerjaan baru dan banyak lagi!


Sarah Sahadin or known as Sarah S., is a Digital Marketer-cum-Junior Graphic Designer and Malay-language content writer who writes career, lifestyle and current trending contents to engage Malay readers, informing about the latest trends happening around. Sarah also has a passion for motorsport (can be spotted at Sepang Circuit on some certain weekends) and enjoys manga illustration during her free time.

Reach me at sarah@jobstore.com.

SHARE ON