Pernahkah anda alami situasi di mana duit di dalam dompet anda tidak mencukupi untuk membayar barang-barang yang anda sudah letak di kaunter bayaran? Malah, di saat genting sebegitu, kad kredit atau debit pula tertinggal di rumah? Sambil anda tergopoh gapah mencari penyelesaian, terdengar pula orang di belakang berkata “Kenapa lambat sangat orang depan ni?” Saya fikir ramai yang pernah alami situasi sebegini dan saya faham jika anda ingin sorokkan muka sahaja pada masa itu. Tidak perlu bersusah payah lagi, pernah dengar tentang e-wallet?

Perkhidmatan e-wallet atau dompet digital telah berkembang pesat sejak beberapa tahun yang lepas dengan lebih daripada 40 lesen e-wallet telah dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. Ianya antara inisiatif bank negara untuk mengubah Malaysia sebagai negara tanpa tunai atau cashless nation menjelang tahun 2020 dengan pembayaran mudah alih.

 


Artikel Berkenaan: Tip Keselamatan Membeli-Belah Dalam Talian


 

 

Kelebihan E-Wallet

Menurut Wikipedia, dompet digital merujuk kepada peranti elektronik atau perkhidmatan dalam talian yang membolehkan seseorang membuat urus niaga secara elektronik. Ini termasuk membeli barangan secara dalam talian melalui komputer atau telefon pintar. Akaun individu juga boleh disambungkan dengan e-wallet tersebut.

E-wallet kini semakin diterima sebagai pilihan pembayaran yang efisien dan telah digunakan secara meluas di serata kedai runcit, kedai makanan & minuman, pasar raya, dan juga vendor-vendor kecil di seluruh Malaysia. Justeru itu, sekiranya anda masih baru dengan e-wallet, saya akan kongsikan 5 kelebihan menggunakan dompet digital.

 

 

Jejak Perbelanjaan

Apabila anda membuat sesuatu pembayaran, e-wallet tersebut akan simpan segala rekod perbelanjaan anda di bahagian history. Oleh itu, anda tidak perlu lagi risau untuk mengingati atau tertanya-tanya akan kemana duit anda telah ‘menghilang’ atau berapa banyak anda telah berbelanja dalam seminggu atau sebulan. Semua rekod perbelanjaan anda kini dibuat secara automatik. Senang bukan? Tidak perlu lagi anda membazir kertas dan bersusah-payah menulis rekod setiap kali anda berbelanja.

 

 

Kawal Perbelanjaan

Dengan menggunakan e-wallet, anda boleh mengawal perbelanjaan anda dengan menetapkan jumlah amaun tambah nilai mengikut keperluan peribadi. Tidak perlu lagi untuk risau akan berbelanja melebihi had peribadi yang telah ditetapkan. Cara ini sesuai untuk individu yang sering lupa diri apabila berbelanja, terutamanya ketika gaji bulanan baru dikreditkan ke dalam akaun bank.

 

 

Peringatan Pembayaran

Sering terlepas akan tarikh pembayaran untuk segala macam langganan bulanan anda? Atau sering dikejar oleh tuan rumah untuk bayar sewa? E-wallet boleh menjadi ‘pembantu peribadi’ anda. Pengguna hanya perlu tetapkan pembayaran secara auto atau auto pay dan e-wallet anda akan tolak bil berkenaan bagi pihak anda. Tetapi bagaimana pula kita nak jejak segala bil yang telah ditolak kalau pilih pembayaran secara auto? Ha, kesemua bil tersebut boleh disemak di bahagian history e-wallet!

 

 

Nikmati Pelbagai Diskaun

Ya! Jika anda memuat turun dompet digital, pelbagai jenis diskaun menunggu anda. Bukan itu sahaja, tawaran cashback atau balik tunai juga menanti. E-wallet seperti Boost, FavePay, BigPay dan GrabPay sentiasa menawarkan pelbagai cashback dan diskaun menarik yang semestinya akan membuat pengguna mereka tergoda! Inilah yang dikatakan sebagai membeli-belah dengan bijak.

 

 

Keselamatan Terjamin

Semasa menggunakan e-wallet, kesemua maklumat akaun peribadi disulitkan kerana nombor akaun bank sebenar anda tidak akan dinyatakan di telefon anda. Selain itu, kata laluan turut diperlukan sekiranya anda ingin melihat atau mengubah maklumat akaun, membuat pembelian atau transaksi ke mana-mana perkhidmatan. Tambahan pula, anda tidak perlu risau akan kehilangan dompet atau terlupa untuk membawa kad anda ketika berada di luar. Top up saja dompet digital dan teruskan pembayaran dengan mudah.

Sebaik sahaja anda mula menggunakan e-wallet, anda tidak perlu lagi dompet anda itu. Hanya perlu bawa smartphone peribadi anda sahaja! Terdapat banyak pilihan e-wallet, yang mana satukah pilihan anda?

 

Kongsikan pandangan anda di ruangan komen di bawah. Jangan lupa ikuti Jobstore.com untuk informasi kerjaya, peluang pekerjaan baru dan banyak lagi! 


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Reach me at: nurin@jobstore.com

SHARE ON