Anda masih ingat lagi video ulasan oleh seorang ahli farmasi iaitu Siti Hawa Mohd Nor (atau sitiawe di Instagram) mengenai suntikan vitamin C telah menerima banyak komen negatif daripada orang ramai dan mempertikaikan kelayakan yang dimiliki oleh beliau untuk mengulas isu berkenaan pada tahun lepas? Kebanyakan netizen mengambil kesempatan untuk mempersendakan dan mengutuk ahli farmasi di laman media sosial kerana mereka tidak layak untuk memberi nasihat tentang kesihatan, malah menganggap kerja mereka duduk di belakang kaunter menyediakan ubat-ubatan sebagai remeh serta memanggil mereka sebagai doktor kerana jubah putih dipakai oleh mereka.

 

 

Disebabkan isu ini, ramai ahli farmasi berasa tersinggung dengan segala sindiran dan kecaman yang dilemparkan oleh netizen yang kurang arif tentang profesion mereka. Oleh itu, kami akan mengupas lebih lanjut mengenai kerjaya dan peranan ahli farmasi supaya anda faham.

 

Siapakah ahli farmasi dan apakah peranannya?

 

 

Ahli farmasi merupakan individu berprofesional yang bekerja di farmasi menyediakan ubat-ubatan berdasarkan preskripsi (prescription) daripada doktor. Selain mempunyai pengetahuan luas dan lebih baik mengenai ubat-ubatan daripada doktor, ahli farmasi juga bertugas untuk melawat ke wad bersama doktor bagi mengadakan perbincangan tentang kaedah rawatan si pesakit dan menasihatkan pesakit tentang topik kesihatan seperti pemakanan yang seimbang, pemahaman tentang penyakit atau wabak dan pengurusan stres serta kesihatan mental. Tidak salah pun ahli farmasi bersuara tentang isu kesihatan kepada masyarakat, sedangkan mereka mempunyai pengetahuan dalam bidang perubatan yang luas. So, jangan kecam mereka, ya!

 

Education tentang ilmu farmasi penting tau!

 

 

Pendidikan dalam ilmu farmasi dan kemahiran sangat penting buat ahli farmasi untuk dijadikan sebagai kerjaya. Berbeza dengan ilmu kedoktoran, menurut Fahmi Hassan (pegawai farmasi dari Kementerian Kesihatan Malaysia) yang memetik tweet beliau di Twitter, ahli farmasi perlu mempunyai Ijazah Sarjana Muda Farmasi dari mana-mana diiktiraf oleh kerajaan dan institut-institut tertinggi dalam dan luar negara. Ijazah ini mengambil masa selama 4 tahun untuk dipelajari demi memenuhi kriteria sebagai ahli farmasi. 

Tambahan pula, mereka juga perlu menjalani latihan siswazah selama setahun di hospital kerajaan, farmasi komuniti atau universiti untuk melengkapkan komponen program akademik.

 

Kerjaya ahli farmasi

Sejajar dengan kemajuan teknologi dan perkembangan industri, bidang tugas ahli farmasi semakin meluas dengan lebih banyak peluang kerjaya dibuka. Kerjaya ahli farmasi bukan sekadar bertugas di belakang kaunter mengambil ubat-ubatan dan memberi nasihat kepada pesakit di farmasi konvensional, malah ada juga ditugaskan di hospital, kilang farmaseutikal dan universiti, serta menjadi usahawan dengan membuka farmasi komuniti sendiri untuk kemudahan masyarakat awam.

 

Ahli farmasi di hospital kerajaan dan swasta memainkan peranan penting dalam mengurus semua aspek yang berkaitan dengan penggunaan ubat bagi pesakit dalam wad dan pesakit luar, termasuk pemonitoran ubat-ubatan terapeutik, penyediaan nutrisi parental dan kaunseling pesakit. Berbeza dengan ahli farmasi di kilang farmaseutikal, peranan mereka di industri farmaseutikal sangat penting dalam penyelidikan dan pembangunan produk ubat-ubatan, serta membangunkan formulasi ubat-ubatan supaya setiap produk ubat-ubatan selamat digunakan, berkesan dan berkualiti.

Selain itu, ada juga ahli-ahli farmasi berkecimpung dalam bidang akademik dengan melibatkan diri dalam aktiviti pengajaran dan penyelidikan. Melalui penglibatan ahli-ahli farmasi dalam aktiviti-aktiviti akademik, program farmasi di peringkat tinggi memerlukan kepakaran oleh mereka dalam bidang-bidang farmaseutikal dan sentiasa memastikan matlamat profesional dan pendikan farmasi tidak diabaikan pada masa hadapan.

Bukan itu sahaja, ahli-ahli farmasi yang bekerja di bawah Kementrian Kesihatan dan Biro Kawalan Farmaseutikal Kebangsaan juga memainkan peranan besar dalam perkara-perkara berkaitan dengan farmasi. Ahli-ahli farmasi di KKM ditugaskan untuk menjaga soal-soal keprofesionalan farmasi, melibatkan diri dalam membuat perundangan dan polisi ubat-ubatan dan kesihatan, serta berkerjasama dengan ahli-ahli akademik dan persatuan farmasi dalam hal-hal yang berkaitan dengan program pengajian farmasi di institut-institut tinggi. Manakala tugas ahli-ahli farmasi di Biro Kawalan Farmaseutikal Kebangsaan adalah menentukan keselamatan, keberkesanan dan mutu ubat-ubatan, mendaftar ubat-ubatan dan produk kosmetik sebelum memasuki pasaran dan memeriksa kilang-kilang farmaseutikal untuk memastikan kilang-kilang tersebut mengamalkan amalan pengilangan baik dan mematuhi segala undang-undang farmasi.

Kesimpulannya, pekerjaan ahli-ahli farmasi dan peranan mereka perlulah dihargai kerana merekalah yang menyediakan ubat yang berkualiti dalam melindungi masyarakat dari kesan sampingan ubat supaya masyarakat menyedari akan kesesuaian sesuatu jenis ubat untuk sebarang penyakit.

 

Adakah anda berminat untuk menjadi ahli farmasi? Kongsikan pandangan anda di ruangan komen di bawah. Jangan lupa juga untuk ikuti Jobstore untuk informasi kerjaya, peluang pekerjaan baru dan banyak lagi!


Sarah Sahadin or known as Sarah S., is a Digital Marketer-cum-Junior Graphic Designer and Malay-language content writer who writes career, lifestyle and current trending contents to engage Malay readers, informing about the latest trends happening around. Sarah also has a passion for motorsport (can be spotted at Sepang Circuit on some certain weekends) and enjoys manga illustration during her free time.

Reach me at sarah@jobstore.com.

SHARE ON