Belanjawan 2020 telah dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng pada hari Jumaat, 11 Oktober 2019 yang lepas. Perbelanjaan sejumlah RM297 bilion telah diperuntukkan untuk Belanjawan 2020 berbanding dengan perbelanjaan sebanyak RM314.5 bilion untuk tahun 2019.

Menerusi tema “Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama ke Arah Kemakmuran Bersama”, Belanjawan 2020 merangkumi empat teras utama bagi memetakan matlamat untuk memperbaiki ekonomi Malaysia serta pembangunan teknologi digital dan mekanikal yang terdapat pada masa kini.

Empat teras utama Belanjawan 2020 termasuk:

1. Memaju Pertumbuhan Ekonomi dalam Ekonomi Baharu dan Era Digital

2. Pelaburan ke Atas Rakyat: Meningkatkan Keupayaan Modal Insan

3. Mewujudkan Masyarakat yang Bersatu, Inklusif dan Saksama

4. Memulihkan Institusi dan Kewangan Awam

Oleh itu, di sini kami ingin merumuskan beberapa perkembangan untuk sektor pekerjaan diikuti dengan peruntukan-peruntukan sumber ketika pembentangan Belanjawan 2020 seperti berikut untuk rujukan.

 

Inisiatif #MalaysiaKerja

Pihak kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6.5 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang untuk mewujudkan peluang pekerjaan berjumlah 350,000 untuk rakyat Malaysia. Inisiatif tersebut bagi mengurangkan kebergantungan terhadap seramai 130,000 orang pekerja asing. Malah, insentif gaji yang diterima akan dikreditkan ke dalam akaun KWSP kecuali bagi program Perantis Kerja.

1. Graduan Kerja

  • Ditujukan kepada para graduan yang telah menganggur lebih dari setahun.
  • Insentif gaji RM500 sebulan selama dua tahun akan diberikan kepada graduan yang diterima bekerja.
  • RM300 sebulan selama dua tahun untuk majikan yang mengambil graduan yang menganggur melebihi setahun untuk bekerja.

2. Wanita Kerja

  • Ditujukan untuk wanita berumur 30 hingga 50 tahun yang kembali bekerja setelah berhenti kerja selama 12 bulan.
  • Insentif gaji RM500 sebulan selama dua tahun akan diberi.
  • Majikan menerima insentif sebanyak RM300 sebulan selama dua tahun.
  • Cukai akan dikecualikan kepada wanita yang kembali bekerja sehingga tahun 2023.
  • Cuti bersalin akan dinaikkan dari 60 hari kepada 90 hari bagi sektor swasta berkuatkuasa pada tahun 2021.
  • Peruntukan sebanyak RM10 juta untuk menggalakkan wanita dalam persukanan.
  • Subsidi faedah tahunan sebanyak 2% bagi mengurangkan kos pinjaman dan RM200 juta untuk menyediakan pinjaman sehingga RM1 juta per SME akan diperkenalkan sebagai galakan perusahawanan di kalangan wanita.

3. Watan Kerja

  • Program bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.
  • Insentif gaji berjumlah RM350 atau RM500 sebulan selama dua tahun mengikut sektor untuk warganegara yang menggantikan pekerja asing.
  • Majikan menerima insentif pengambilan sebanyak RM250 sebulan dalam tempoh yang sama.

4. Perantis Kerja

  • Menggalakkan lebih ramai belia untuk menyertai program TVET.
  • Elaun tambahan berjumlah RM100 sebulan akan diberi.
  • Potongan cukai dua kali untuk perbelanjaan syarikat yang menyertai SLDN.
  • Syarikat yang menerima potongan cukai dua kali untuk SIP yang diluluskan oleh TalentCorp akan diperluaskan kepada bidang akademik yang lain.

5. Penambahbaikan Persekitaran Kerja

  • Direka untuk para wanita dan ibu bapa.
  • Peningkatan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk tambahan TASKA di hospital dan sekolah.
  • Pelepasan cukai individu dinaikkan ke RM2 ribu dari RM1 ribu untuk ibu bapa yang menghantar anak ke TASKA dan TADIKA bagi yuran yang dibayar.

6. Penciptaan Kandungan Digital

  • Amaun berjumlah RM20 milion akan diberikan kepada MDEC untuk menggalakkan pemain tempatan untuk menghasilkan kandungan digital.

7. Kenaikan Gaji & Bantuan Sara Hidup

  • Gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,200 dari RM1,100 di bandar-bandar utama.
  • Individu bujang berumur 40 tahun ke atas yang berpendapatan kurang dari RM2,000 sebulan akan diberi Bantuan Sara Hidup berjumlah RM300.
  • Individu OKU berumur 18 tahun ke atas berpendapatan kurang dari RM2,000 sebulan menerima sebanyak RM300 juga.
  • Individu bukan penerima BSH dengan pendapatan kasar tahunan sehingga RM100 ribu akan menerima bayaran penyakit kritikal sebanyak RM4 ribu dan elaun hospital kerajaan harian RM50 sehari (maksimum 14 hari).

8. Kajian Semula Akta Kerja 1955

  • Kelayakan bayaran lebih masa (OT) bagi pekerja berpendapatan kurang daripada RM2,000 kepada RM4,000 sebulan.
  • Penambahbaikan pengendalian aduan gangguan seksual dari segi perlindungan dan prosedur.
  • Memantapkan peruntukan berkaitan larangan diskriminasi dalam pekerjaan seperti agama, kaum atau jantina.

9. Perlindungan Sosial Pekerja

  • Perlindungan KWSP kepada pekerja kontrak perkhidmatan dan profesional akan diperluaskan.
  • Skim akan dijalankan secara sukarela sebagai permulaan bagi pekerja dalam industri seni dan hiburan dengan kerjasama antara KWSP dan FINAS sebelum diperluaskan kepada sektor lain.
  • Skim PERKESO akan diperluaskan untuk caruman oleh 18 kumpulan yang bekerja sendiri seperti nelayan, petani, pemilik tunggal dan perkongsian mulai tahun 2020.

10. Penjawat Awam

  • Penjawat awam yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dibenarkan untuk penebusan awal Cuti Rehat (Gantian Cuti Rehat) sehingga 75 hari sebagai pembayaran gantian.
  • RM26 milion diperuntukkan bagi peningkatan elaun sebanyak RM2 sejam untuk kumpulan Rela mulai 1 Januari 2020.
  • Bomba akan menerima elaun khas berjumlah RM200 sebulan mulai tahun 2020.
  • Tentera dengan Pingat Jasa Malaysia akan menerima bayaran khas sebanyak RM500.
  • Bayaran khas sebanyak RM500 bagi penjawat awam gred 56 ke bawah.
  • Bayaran khas RM250 bagi pesara dan veteran tidak berpencen.
  • Insurans kemalangan diri percuma sebanyak RM100 ribu bagi peminjam perumahan baharu LPPSA.
  • Waris penjawat awam yang meninggal dunia semasa perkhidmatan akan diberikan faedah ex-gratia kematian berjumlah RM150 ribu.

 

Keseluruhannya

Menerusi pernyataan belanjawan tersebut, perubahan ini sejajar dengan perubahan perundangan yang telah mempengaruhi kemajuan ekonomi negara bertahun lamanya. Belanjawan 2020 adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang oleh kerajaan yang berusaha untuk memulihkan perkembangan fiskal negara. Perancangan tersebut akan berjalan secara berperingkat, termasuk perancangan masa hadapan seperti cukai digital yang akan dikenalkan pada tahun 2020 kelak.

 

Apakah pandangan anda terhadap Belanjawan 2020? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Layari Jobstore.com untuk informasi kerjaya, peluang pekerjaan baru dan banyak lagi!


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Reach me at: nurin@jobstore.com

SHARE ON