8 Manisan Tradisional India Sempena Deepavali

Deepavali: 8 Manisan Tradisional Wajib Cuba

Posted by

Deepavali atau Diwali adalah satu pesta cahaya atau “Festival of Lights” yang disambut meriah oleh individu beragama Hindu. Perayaan tersebut disambut sebagai penghormatan kepada kepulangan Dewa Rama dan isterinya Sita selepas bertahun lamanya terasing lalu menjadi simbolik kemenangan yang baik terhadap kejahatan. Di Malaysia, Deepavali bakal disambut pada hari Ahad, 27 Oktober 2019.

Seperti kebanyakan perayaan di Malaysia, Deepavali adalah hari di mana orang ramai tidak kira bangsa atau agama akan berkumpul di rumah-rumah terbuka kenalan India mereka untuk bersama-sama memeriahkan lagi perayaan tersebut.

Selain masakan India yang lazat, bila lagi kita hendak merasa manisan tradisional mereka kalau bukan semasa Deepavali? Oleh itu, kami kongsikan 8 manisan tradisional wajib cuba sempena Deepavali. Boleh lah anda request dengan kenalan India anda untuk merasa manisan-manisan ini nanti atau buat sahaja di rumah. Selamat menyambut hari Deepavali Jobstore ucapkan!

Gulab Jamun

Manisan bebola ini diperbuat daripada pepejal susu, tepung buah pelaga, susu tepung, ghee, sirap ros dan gula. Campuran bahan tersebut akan dibentuk menjadi bebola kecil sebelum digoreng lalu direndam dengan sirap gula. Ada juga individu yang menggunakan ubi keledek bagi mengurangkan rasa manis.

Ladoo

Siapa yang tidak kenal akan manisan popular ini bukan? Terdapat pelbagai jenis ladoo, tetapi secara asasnya ia diperbuat daripada tepung, gula dan ghee. Manisan ini kebiasaannya dihidangkan ketika majlis perkahwinan serta perayaan besar seperti Deepavali. Bahan seperti kacang pistachio yang dipotong halus, kelapa kering dan kacang turut dicampurkan untuk menambah lagi kesedapan ladoo.

Bebola Ghee / Nei Urundai

Kalau anda perasan, kebanyakan manisan India menggunakan ghee dan nei urundai ini tidak terkecuali. Bahan utama adalah tepung kacang mung yang dicampur dengan tepung buah pelaga, gula dan mentega untuk menaikkan bau aromatik serta rasa kekacangan setelah digoreng. Buah-buahan kering seperti kismis dan kacang yang dipotong halus juga akan dicampurkan untuk tekstur tambahan.

Jalebi

Jalebi ini dari jauh kelihatan seperti mi yang digoreng tetapi manisan tersebut adalah tepung yang digoreng dan direndam dengan sirap gula yang tebal. Tekstur jalebi adalah sama dengan kek funnel dan aroma mewangi serta warna oren manisan tersebut terhasil daripada penggunaan bahan safron yang ditambah ke dalam pra-campuran sakarin.

Rava Kesari

Rava kesari diperbuat daripada campuran tepung semolina yang direbus, sirap gula dan susu penuh krim yang segar. Manisan ini mempunyai tekstur yang agak berlainan berbanding manisan yang lain, tetapi masih sedap dimakan. 

Palkova

Manisan ini adalah campuran gula yang ditambah ke dalam susu yang direbus. Selain diletakkan ke dalam bekas-bekas kecil, palkova juga sering diletakkan ke dalam acuan pelbagai corak sebelum dipotong menjadi bentuk kekotak atau berlian.

Halwa

Sama seperti ladoo, halwa juga boleh didapati dengan pelbagai jenis. Bahan-bahan yang digunakan termasuk tepung, susu dan gula. Buah-buahan kering seperti kismis, kacang-kacang pistachio dan kashew yang dipotong halus turut dicampur bersama mengikut citarasa. Setelah disejukkan, halwa akan dipotong dengan bentuk kekotak tebal dan ianya enak dinikmati bersama teh panas.

Barfi

Barfi atau burfi diperbuat daripada bahan-bahan ringkas iaitu susu tepung, susu, ghee, tepung buah pelaga dan gula. Manisan ini juga sering dibentuk seakan sabun buku atau berlian. Bahan-bahan lain seperti kelapa, almond, buah-buahan kering dan pistachio turut ditambah mengikut citarasa atau permintaan.

Sambutan Deepavali semestinya tidak akan berasa lengkap tanpa hidangan manisan tradisional. Dalam senarai 8 manisan di atas, yang manakah pilihan anda untuk dicuba? Kongsikan jawapan anda di ruangan komen di bawah. Jangan lupa juga untuk ikuti Jobstore untuk informasi kerjaya, peluang pekerjaan baru dan banyak lagi!


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Reach me at: nurin@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *