Bos Tidak Luluskan Cuti Tahunan. Apa Perlu Dilakukan?

Bos Tidak Luluskan Cuti Tahunan. Apa Perlu Dilakukan?

Posted by

Apabila anda telah mula memasuki alam pekerjaan dan mula membina komitmen untuk pekerjaan anda, anda sebagai pekerja layak memperoleh cuti tahunan berbayar dari syarikat. Anda dibenarkan menerima sekurang-kurangnya 12 hari cuti tahunan berbayar untuk setiap tahun.

Memandangkan anda berhak untuk menggunakan cuti tahunan yang diberi, apa yang perlu dilakukan sekiranya bos anda tidak meluluskan cuti tersebut? Majikan sememangnya mempunyai hak untuk menolak permintaan cuti tahunan pekerja jika mereka mempunyai alasan kukuh untuk berbuat sedemikian. Anda juga mungkin akan menghadapi situasi di mana anda dihadkan untuk memohon cuti untuk tempoh yang tertentu.

Turut terdapat sekatan di mana adanya had kepanjangan cuti tahunan bagi mengelakkan pekerja daripada bercuti terlalu lama. Selain itu, sekatan daripada cuti perayaan atau cuti sekolah juga dikuatkuasakan oleh segelintir majikan demi mengelakkan pekerja daripada memohon cuti tahunan.

Sebagai contoh, permohonan cuti tahunan menjelang Hari Raya. Segelintir majikan akan meletakkan had ke atas jumlah pekerja dari jabatan berlainan yang diizinkan untuk bercuti demi memastikan tahap perkhidmatan syarikat berjalan lancar. Sekatan tersebut lebih ketara di bahagian jabatan yang lebih kecil di mana terdapat kekurangan pekerja untuk menguruskan tugasan di pejabat.

Apa Perlu Anda Lakukan?

Jika permohonan cuti tahunan anda tidak diluluskan, anda berhak untuk bertanya sebab di sebaliknya. Jika anda mendapati mereka tidak memahami kepentingan cuti yang dipohon, anda haruslah menerangkan perkara tersebut. Secara umumnya, terdapat sebab yang munasabah mengapa cuti anda tidak diluluskan. Cara yang terbaik untuk menjelaskan adalah untuk memastikan bahawa urusan-urusan kerja yang tergendala telah diselesaikan terlebih dahulu dan tiada halangan terhadap aliran kerja yang lain.

Mengapa Anda Perlukan Dokumen Untuk Memohon Cuti?

Melampirkan dokumen yang berkenaan untuk permohonan cuti adalah penting jika anda merancang untuk berada luar dari pejabat atas sebab yang munasabah kerana ianya dapat membantu mengesahkan ketiadaan anda. Mempunyai dokumentasi yang kukuh dalam bentuk bertulis dapat membantu memelihara hak anda sebagai pekerja serta hak majikan jika berada dalam situasi ketidaksepakatan.

Jika terdapat individu yang menanyakan tentang ketiadaan anda di tempat kerja, anda boleh menggunakan dokumen tersebut sebagai bukti permohonan cuti anda telah diluluskan. Di dalam sebuah organisasi, prosedur cuti tahunan biasanya akan dirujuk oleh beberapa pihak yang terlibat dengan proses kelulusan cuti.

Rancang Percutian Anda Sebelum Memohon Cuti Tahunan

Jika anda telah merancang percutian anda, maka anda perlu mempertimbangkan aspek-aspek seperti berikut sebelum anda memohon cuti tahunan.

Urusan Perniagaan: Jika anda hendak memohon cuti di mana keberadaan anda diperlukan di pejabat, adalah penting untuk anda rancang urusan kerja sepanjang ketiadaan anda kelak. Walaupun anda mempunyai hak untuk memohon cuti tahunan, tetapi ianya tidak bermakna anda boleh bercuti mengikut masa yang anda pilih. Utamakan pilihan yang ada dan bermunasabahlah dengan keputusan anda terutamanya apabila keberadaan anda diperlukan untuk urusan penting syarikat.

Dapatkan Pengganti: Pastikan ada rakan sekerja yang mampu menggantikan tempat anda buat sementara semasa ketiadaan anda atau pastikan kesemua urusan-urusan kerja yang penting telah diselesaikan terlebih dahulu.

Sediakan Tempoh Notis: Berikan notis kepada pengurus anda seawal yang mungkin supaya mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk merancang urusan kerja yang ada sebelum perlepasan anda.

Baki Cuti Tidak Mencukupi: Jika anda merancang untuk memohon cuti tambahan tanpa baki cuti yang mencukupi, terdapat kemungkinan untuk permohonan anda ditolak. Sebagai alternatif, anda boleh pohon cuti tanpa gaji jika perlu, maka pertimbangkan pilihan yang anda ada sebelum memohon.

Perkara Penting Yang Perlu Disertakan Dalam Permohonan Cuti

  • Jenis permohonan cuti
  • Sebab memohon cuti
  • Tarikh permulaan
  • Tarikh akhir
  • Hari terakhir di pejabat sebelum perlepasan
  • Hari pertama di pejabat selepas kembali
  • Jumlah hari permohonan cuti
  • Jumlah hari bekerja yang sebenar
  • Nama dan jawatan rakan sekerja yang akan menggantikan tempat anda
  • Nombor kecemasan untuk dihubungi
  • Garis kerja yang akan dikendalikan semasa ketiadaan anda
  • Dokumen sokongan jika diperlukan seperti sijil perubatan untuk cuti sakit

Apa Perlu Dilakukan Jika Permohonan Cuti Diluluskan?

  • Catatkan sebarang maklumat utama yang berkaitan dengan tugas anda dengan arahan yang senang dibaca dan difahami. Ianya berguna untuk rakan sekerja anda yang bakal mengambil alih tugasan anda semasa ketiadaan anda. 
  • Sediakan e-mel kepada rakan sekerja dan para klien berkaitan dengan cuti yang dipohon. Sertakan sekali butiran cuti seperti tarikh, nombor individu yang mengambil alih tugas anda, dan nombor telefon kecemasan anda. 
  • Sertakan penetapan mesej auto-balasan untuk e-mel anda seperti: “Saya tidak akan berada di pejabat bermula daripada (Tarikh Permulaan) sehingga (Tarikh Akhir Cuti) dan akan kembali pada (Tarikh Hari Pertama Masuk Kerja). Jika anda mempunyai sebarang urusan penting, sila hubungi (Nama Kenalan) di (Alamat E-mel Kenalan). Jika tidak, saya akan membalas e-mel anda secepat mungkin sebaik sahaja saya kembali ke pejabat.”

Apa yang anda akan lakukan jika pengurus anda tidak meluluskan permohonan cuti tahunan anda? Kongsikan dengan kami di ruangan komen di bawah. Ikuti Jobstore untuk informasi kerjaya, peluang pekerjaan baru dan banyak lagi!


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Reach me at: nurin@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *