Oleh YEOH LIN LIN

Apabila ditanya sama ada dia boleh berenang, seorang kenalan menjawab ‘Ya, saya pernah mewakili sekolah dalam acara renang.’ Eh wah…

Saya menggaru kepala apabila terdengar jawapannya. Saya juga boleh berkata saya pernah mewakili sekolah dalam permainan bola jaring, tangkas tidak terkata hinggakan pasukan lawan begitu bencikan. Kenapa tak, memandangkan saya agak tinggi dan tangan pula panjang (bukan panjang tangan, ya?!) — hampir setiap lontaran dapat saya pintas macam octopus!!

Tetapi kalau diajak bermain sekarang, pasti akan saya tolak. Maklumlah dah berusia, tubuh badan pun dah tak sefleksibel dulu. Tersalah langkah sedikit, tertarik saraf pula entah di mana-mana bahagian badan. Padah akibatnya!

Anda mungkin bertanya ‘so apa poin leteran ini?’ Ah… ini ada kaitan dengan soal sama ada wajarkah kita mengenang kehebatan masa lalu kita?

Izinkan saya berkongsi pandangan.

WAJAR sekiranya…

Ia sesuatu yang boleh menyuntik semangat dalam kita untuk mahu menikmati semula kebaikan dan kehebatan yang pernah dialami beberapa ketika yang lepas.

Misalnya, ekonomi negara Malaysia. Pada suatu ketika dulu, kita pernah dikenali sebagai Harimau Asia, biarpun ada orang mendebatkan gelaran ini. Menurut Menteri Kewangan Malaysia pada Mac tahun ini (2019), Malaysia bakal bangkit semula sebagai Harimau Asia dalam tempoh tiga tahun.

Sama ada ekonomi Malaysia pernah atau bakal menduduki kategori sebagai harimau sepenuhnya, gelaran itu kurang penting. Soalan yang perlu dijawab hari ini adalah bagaimanakah prestasi ekonomi Malaysia buat masa ini, dan bagaimanakah negara patut bergerak ke depan?

Baik ekonomi negara, mahupun perihal peribadi, kita perlu mengorak langkah, mengambil tindakan untuk mencapai kembali kemegahan yang pernah dinikmati pada suatu ketika dulu. Bukan asyik bercakap-cakap saja!

TIDAK WAJAR dan memudaratkan sekiranya…

Kita leka duduk bercangkung dan asyik memikirkan zaman gemilang yang lepas walhal prestasi semasa kita tidak seberapa.

Misalnya, kalau dulu kita star performer tapi kini cuma mendapat gred cukup makan, jangan pula kita leka bergelumang dalam ‘dulu I buat itu, ini’. Kalaulah kita enggan bergerak mengikut peredaran masa, kita pasti akan ketinggalan. Kalaulah kita asyik berpeluk tubuh dan suka sangat mengingat kembali masa-masa dulu yang penuh dengan kejayaan dan pencapaian, ini bermakna kita dah ketinggalan masa. Kita masih hidup dalam takuk lama. Masa akan berlalu dan hidup kita takkan maju langsung.

KONKLUSI

Sebagai insan dalam abad ke-21 ini, kita perlu bergerak ke depan mengikut rentak masa. Kita perlu berusaha untuk menambah baik diri dengan banyak membaca topik-topik yang berkaitan, menjalin rangkaian sosial yang luas supaya kita dapat berkongsi dan bertukar pandangan. Yang terbaik sekali, kita patut hidup dalam momen ini, dan merangkul segala peluang baik yang sedia ada bagi diri.

 

“Terlalu bergantung pada kegemilangan lepas adalah kejayaan kala silam dan kegagalan kala kini.” – ABC Quotes

 

Apa pandangan kalian? Kongsikan dalam komen. Bersama-sama kita mengambil iktibar.

#BerkongsiPandangan #MasihTengahBelajar #KenanganMasaSilam #Pengajaran

Jangan lupa ikuti Jobstore untuk peluang pekerjaan baru, tip temuduga dan pelbagai lagi!


Yeoh Lin Lin ialah editor Leaderonomics BM dan pengamal komunikasi/PR yang berpengalaman. Untuk pertanyaan mengenai portal kepimpinan BM Leaderonomics dan hal-hal mengenai komunikasi/PR, anda boleh menghubunginya melalui linlin.yeoh@leaderonomics.com atau linkedin.com/in/yeohlinlin 

SHARE ON