Perbezaan Kad Kredit dan Kad Debit

Posted by
 

Masyarakat pada zaman ini, terutamanya golongan millennials yang menjejak ke dunia pekerjaan menggunakan kad kredit dan kad debit sebagai trend untuk tujuan pembelian, simpanan dan pembayaran dalam talian. Penggunaan kedua-dua kad ini menjadi popular kerana dilihat sebagai pengganti wang tunai dan senang untuk memohon. Walaupun kedua-dua kad ini bertujuan untuk memudahkan cara perbelanjaan, namun anda tertanya-tanya apakah perbezaan antara kad kredit dan kad debit serta kelebihannya.

 

 
 
Kad kredit bertindak sebagai kemudahan pinjaman yang ditawarkan oleh bank berdasarkan had diberikan untuk membuat transaksi atau perbelanjaan, manakala kad debit adalah kemudahan pembayaran yang mendebitkan akaun simpanan. 

Kedua-dua kad ini mempunyai fungsi yang berbeza. Jika anda merupakan pengguna kad kredit, pihak bank akan memberikan had tertentu mengikut beberapa kriteria seperti pendapatan bulanan dan rekod pembayaran sebelum ini. Apabila anda membuat sebarang pembayaran atau pembelian, pengeluar kad kredit akan membayar kepada saudagar terlebih dahulu untuk anda dan kemudiannya menghantar bil berbentuk penyata bulanan kepada anda. Berbeza pula dengan kad kredit, konsep kad debit adalah pihak bank tidak akan memberikan had kredit kerana dana diambil secara terus dari akaun simpanan anda setiap kali anda menggunakan kad debit. Oleh itu, semua pembelian dan pembayaran anda tidak akan melebihi baki yang terdapat di dalam akaun bank anda.

 

Apakah kelebihan menggunakan kad kredit dan kad debit?

Penggunaan kad kredit akan memberi keupayaan untuk membayar hutang secara ansuran. Hal ini demikian kerana anda mempunyai keupayaan untuk melangsaikan baki anda dalam tempoh masa ditetapkan walaupun membayar baki kad kredit sepenuhnya pada setiap bulan. Selain itu, anda juga membiayai untuk kecemasan jika anda menanggung perbelanjaan yang tidak dijangka, terutamanya semasa melancong ke luar negara. 

Kad debit ada juga kelebihannya berbanding kad kredit. Anda tidak perlu risau tentang hutang pada hujung bulan kerana duit akan ditolak terus dari akaun anda, cumanya pastikan anda mempunyai baki dalam akaun anda. Tambahan pula, kad debit membantu anda mengawal perbelanjaan setiap bulan supaya anda tidak melebihi dari apa yang anda telah rancang. Dengan adanya kad debit, anda perlu mendidik anda sendiri untuk menjimatkan duit anda sambil merancang perbelanjaan harian.

 

 

Penggunaan kad kredit dan kad debit ada kelebihannya tersendiri. Namun, adakah kedua-dua kad ini mempunyai kelemahan?

Kedua-dua kad ini turut mempunyai kelemahan tersendiri. Jika anda merupakan pengguna kad kredit tegar semasa membeli-belah, anda akan menjadi boros dan terjerumus ke perangkap hutang. Pemegang kad kredit akan menerima notis amaran dari pihak bank jika tidak dapat melangsaikan hutang dalam tempoh masa diberikan. Pihak bank turut mengisytiharkan bankrap terhadap pemegang kad kredit sekiranya harta benda pemegang kad kredit tersebut tidak mencukupi untuk melangsaikan hutangnya. Di samping itu, kes penipuan dan penyalahgunaan kad kredit turut berlaku. Hal ini kerana kad kredit terdedah kepada kecurian data semasa melakukan pembayaran dalam talian di laman-laman web yang seakan mencurigakan. Laman-laman web seperti ini akan memperoleh maklumat dan menyimpan maklumat pembayaran lalu menyalahgunakan kad kredit tanpa pengetahuan pemegang asal.

Antara kelemahan kad debit pula ialah tiada perlindungan kerana syarat kelayakan untuk memiliki yang rendah. Berbeza dari kad kredit, pembelian dengan kad debit sama seperti anda beli secara tunai. Selain itu, penggunaan kad debit juga mempunyai risiko kehilangan wang dari akaun bank anda kerana transaksi secara talian. Untuk cara yang lebih selamat, anda perlu menambah nilai kad debit anda setiap kali digunakan kerana ia lebih selamat dari kehilangan wang dari akaun anda. Tambahan pula, jangan gunakan kad debit untuk pembelian barangan mahal. Berlainan sedikit dari penggunaan kad kredit, duit dari akaun anda akan hilang tanpa dapat dikesan sekiranya sebarang kes penipuan berlaku.

Kesimpulannya, kad kredit dan kad debit berbeza dari segi fungsi, kebaikan dan kelemahan. Sekiranya anda merancang untuk memiliki kad tersebut, anda perlu membuat kajian terlebih dahulu untuk mengetahui budaya perbelanjaan dan simpanan anda. Jadi, perlulah anda memupuk sikap berjimat-cermat dalam merancang perbelanjaan anda dengan menggunakan kad kredit dan kad debit!

 

Adakah anda pengguna setia kad kredit dan kad debit? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah! Jangan lupa untuk layari Jobstore.com untuk lebih banyak peluang pekerjaaan!


Sarah Sahadin or known as Sarah S., is a Digital Marketer-cum-Junior Graphic Designer and Malay-language content writer who writes career, lifestyle and current trending contents to engage Malay readers, informing about the latest trends happening around. Sarah also has a passion for motorsport (can be spotted at Sepang Circuit on some certain weekends) and enjoys manga illustration during her free time.

Reach me at sarah@jobstore.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *