Berdasarkan kajian yang telah dibuat oleh ahli psikologi klinikal daripada International Journal of Behavioral Science, terdapat sekurang-kurangnya 70% individu mengalami sindrom penipu atau impostor syndrome pada sesuatu masa dalam kehidupan seharian mereka.

Sebagai contoh, pernahkah anda merasakan bahawa kesemua individu di sekeliling anda lebih bijak atau bernasib baik daripada anda? Jika ya, anda mungkin mengalami sindrom tersebut. Sindrom penipu adalah satu perasaan di mana anda berasa tidak layak untuk menerima segala kejayaan yang telah anda kecapi selama ini, meskipun usaha anda diakui oleh semua di tempat kerja.

Sindrom Penipu di Tempat Kerja

Realitinya, kebanyakan syarikat tidak menyedari akan permasalahan sindrom penipu atau impostor syndrome yang dialami oleh para pekerja. Cenderung untuk berlaku di persekitaran industri yang banyak didominasi oleh satu jantina seperti dalam bidang IT atau kejuruteraan, individu yang terjejas akan berasa tertekan dek kerana kurang pemahaman serta keyakinan untuk mengatasi fenomena psikologi yang dihadapi.

Turut terdapat kajian yang berpendapat bahawa lebih tinggi kedudukan jawatan seseorang, semakin tinggi kemungkinan untuk mereka mengalami sindrom penipu. Permasalahan ini timbul akibat mereka tidak dapat melihat kualiti positif kendiri, terutamanya apabila maklum balas positif jarang dinyatakan atau ditunjukkan oleh rakan sekerja dan pihak atasan. Justeru itu, ianya mengakibatkan para pekerja untuk berputus asa dengan pekerjaan bahkan kepakaran industri khusus mereka secara keseluruhan.

Cara Mengatasi Sindrom Penipu

Dibelenggu dengan perasaan kurang keyakinan pada diri sendiri kadang-kala boleh mengakibatkan tekanan perasaan buat seseorang, lantas mempengaruhi prestasi kerja mereka. Terdapat beberapa cara yang boleh anda ikuti untuk mengatasi sindrom penipu tersebut.

Simpan Fail Pencapaian

Apabila anda berasa kurang keyakinan diri, fail pencapaian tersebut sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk mengingat kembali kesemua pencapaian yang lepas. Tidak kira pencapaian kecil atau besar, anda juga boleh menyenaraikan perkara-perkara tersebut di dalam telefon pintar supaya senang untuk anda rujuk sebagai penggalak motivasi diri dari masa ke semasa.

Jadi Realistik dan Elak Mencari Kesempurnaan

Sikap terlalu hendakkan kesempurnaan dalam semua perkara akan memakan diri anda sendiri. Seeloknya anda menjadi lebih realistik dengan tetapkan harapan yang setimpal dengan apa yang anda mampu lakukan, kerana setiap perkara yang baik memerlukan masa.

Tingkatkan Keyakinan Diri

Salah satu cara untuk tingkatkan keyakinan diri anda adalah dengan mempercayai setiap pujian yang anda terima dari seseorang. Jika anda menerima pujian tentang prestasi kerja, raikan pencapaian tersebut dan luangkan masa untuk merenung kembali segala kerja keras anda selama ini dengan harapan anda boleh menghargai diri sendiri dengan lebih baik.

Sokongan Luar Pejabat

Terdapat kajian yang menyatakan bahawa antara cara mengatasi sindrom penipu adalah untuk mencari sokongan luar dari tempat kerja. Ianya dapat membantu mengurangkan kebimbangan individu yang terjejas terhadap persepsi orang lain tentang diri mereka, berserta tahap kemahiran profesional yang mereka miliki.

Hargai Diri Sendiri Dengan Lebih Baik

Tahukah anda bahawa seseorang yang sentiasa mementingkan kejayaan lebih cenderung untuk mengalami sindrom penipu? Sebagai contoh, jika anda sering bimbang tentang tahap pencapaian kendiri, anda kemungkinan berada di kalangan individu-individu yang bakal mencapai kejayaan yang lebih bermakna dalam hidup serta perjalanan karier anda. Oleh itu, hargailah diri anda dengan sebaiknya!

Pernahkan anda mengalami sindrom penipu di tempat kerja? Apakah cara yang anda gunakan untuk mengatasi masalah tersebut? Kongsikan bersama kami di ruangan komen di bawah. Jangan lupa ikuti Jobstore.com juga untuk peluang pekerjaan baru, tip temuduga, dan pelbagai lagi!


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Reach me at: nurin@jobstore.com

SHARE ON