8 Tarikan Menarik Percuma Di Kuala Lumpur

Posted by

Tidak dapat disangkal lagi bahawa apa sahaja yang percuma dalam dunia ini akan sentiasa menjadi tumpuan orang ramai. Di antara pelbagai tarikan menarik berbayar yang ada di Kuala Lumpur, turut terdapat tarikan percuma yang anda boleh kunjungi! Kami akan kongsikan 8 tarikan menarik percuma di Kuala Lumpur untuk rujukan para pembaca. Kosongkan kalendar anda kerana anda pasti tidak mahu lepaskan peluang ini!

Galeri Seni Petronas KLCC

Waktu Operasi: Selasa – Ahad / 10 pagi – 8 malam (Tutup pada hari Isnin)

Rakyat Malaysia terutamanya generasi muda kini semakin menunjukkan minat terhadap seni kreatif serta kebudayaan, dan Galeri Seni Petronas KLCC ialah salah satu dari 8 tarikan menarik percuma di Kuala Lumpur yang harus dikunjungi.

Ditubuhkan pada tahun 1993, galeri seni kontemporari ini merangkumi lebih daripada 1,000 karya seni fotografi, pakaian tradisional, kraftangan dan pameran lukisan-lukisan kontemporari oleh artis-artis tempatan dan juga luar negara. Dari masa ke masa, Galeri Seni Petronas KLCC turut mencuri perhatian ramai dengan menganjurkan pameran bertema.

‘Wheelie Sunday’ di Publika

Waktu Operasi: Setiap Ahad / 7 pagi – 10 pagi

Kawasan di sekitar pusat membeli-belah Publika akan ditutup setiap hari Ahad pukul 7 pagi hingga 10 pagi bagi memberi ruang untuk aktiviti riadah percuma anjuran pihak Publika sendiri iaitu ‘Wheelie Sunday’. 

Kini anda bersama ahli keluarga boleh beriadah dengan tenang dan selamat tanpa gangguan trafik selama 3 jam. Anda boleh membawa basikal, skuter dan papan luncur kepunyaan anda untuk aktiviti ‘Wheelie Sunday’ ini. Terdapat juga basikal percuma untuk kanak-kanak serta orang dewasa yang disediakan pihak Publika untuk kegunaan awam.

Tayangan Filem Aras Bumbung

Waktu Operasi: Setiap Sabtu, bermula pukul 7 malam

Selain daripada menonton filem di panggung wayang berbayar seperti GSC atau TGV, apa kata anda simpan duit dan tonton filem secara percuma di aras bumbung? Antara 8 tarikan menarik percuma di Kuala Lumpur ialah tayangan filem anjuran Frisky Rooftop Bar bagi memberi pengalaman menarik buat para pengunjung mereka. Kebanyakan filem yang mereka tayangkan ialah filem-filem Hollywood popular berlainan genre.

Hari Bebas Kereta ‘Go Green’ KL

Waktu Operasi: Ahad Minggu 1 & 3 / 7 pagi – 9 pagi (Tertakluk kepada perubahan)

Kebanyakan jalan ditutup sepenuhnya oleh pihak berkuasa untuk kenderaan bermotor selama dua jam bagi memberi laluan untuk aktiviti Hari Bebas Kereta ‘Go Green’ KL yang diadakan setiap hari Ahad minggu pertama dan ketiga setiap bulan.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan pengunjung seperti berbasikal, jogging, rollerblading serta skateboarding. Terdapat juga sesi zumba yang diadakan dari masa ke masa di Dataran DBKL yang terletak lebih kurang 10 minit berjalan kaki dari Galeri Bandaraya Kuala Lumpur.

Kelas Yoga Komuniti di APW Bangsar

Waktu Operasi: Setiap Sabtu / 9 pagi – 10 pagi

Jika anda inginkan sesi penjagaan diri pada hujung minggu ini, apa kata anda cuba sertai sesi yoga anjuran Yoga with Robyn Lau bertempat di ‘Uppercase’ atau ‘Bookmark’, APW Bangsar? Kelas percuma tersebut akan diadakan setiap hari Sabtu selama satu jam dari 9 pagi hingga 10 pagi. Anda hanya perlu bawa tikar yoga kepunyaan sendiri serta bekalan air minuman.

Kuil Thean Hou

Waktu Operasi: Setiap hari / 9 pagi – 6 petang

Kuil Thean Hou ialah antara 8 tarikan menarik percuma di Kuala Lumpur. Ianya merupakan sebuah kuil popular dan yang terbesar di bandar ini. Kuil enam tingkat tersebut menempatkan patung Dewi Tian Hou yang menjaga para nelayan, serta patung Dewi Rahmat bernama Guan Yin.

Kuil Thean Hou ini hanya terletak 10 minit jarak pemanduan dari pusat membeli-belah Mid Valley dan The Gardens. Selain daripada mempelajari tentang amalan-amalan penganut Buddha, Kuil Thean Hou juga ialah tempat yang sememangnya insta-worthy!

Pasar Seni di Chinatown KL

Waktu Operasi: Setiap hari / 10 pagi – 10 malam

Termasuk dalam senarai 8 tarikan menarik percuma di Kuala Lumpur, Pasar Seni atau Central Market ialah di mana para pelancong mendapatkan cenderahati untuk dihadiahkan kepada sahabat handai mereka di luar negara. Dari barang kraftangan, butik pakaian tradisional ke jualan karya seni tempatan, semuanya ada di Pasar Seni ini! Pelbagai persembahan khas turut dianjurkan dari masa ke masa di Pentas Terbuka Pasar Seni.

Taman Eko Rimba Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari / 7 pagi – 6 petang

Merupakan satu-satunya hutan hujan tropika yang tinggal di tengah-tengah kota raya Malaysia, Taman Eko Rimba Kuala Lumpur atau dulu dikenali sebagai Hutan Simpan Bukit Nanas menawarkan kemasukan percuma dan ianya antara tarikan popular buat ahli keluarga serta anak-anak muda untuk berekreasi pada hujung minggu.

Apakah pilihan tarikan untuk anda kunjungi di sekitar Kuala Lumpur pada hujung minggu ini? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Jangan lupa ikuti Jobstore.com juga untuk peluang pekerjaan baru, tip temuduga, dan pelbagai lagi!


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Reach me at: nurin@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *