Jerebu yang telah kembali melanda di Malaysia sejak bulan lalu memberikan kesan negatif kepada kesihatan seluruh rakyat negara ini. Keadaan ini sangat membimbangkan jika tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 300 yang boleh menjejaskan dan seterusnya membataskan keseluruhan aktiviti harian di luar.

Masyarakat pada zaman kini kurang mengambil berat tentang mengenai isu berkaitan jerebu dan impak negatif terhadap kesihatan. Apabila kita giat menjalankan aktiviti-aktiviti di luar sambil menghirup udara yang tercemar, badan kita akan menghadapi kesukaran dalam pelbagai fungsi pemprosesan yang mungkin akan membawa kepada kerosakan organ dalaman. Oleh itu, penjagaan kesihatan sangat mustahak ketika fenomena jerebu melanda.

Worse Haze in Malaysia 21.10.2015

 

Bagaimanakah jerebu menjejaskan kesihatan?

Partikel-partikel halus yang terdapat pada asap jerebu diserap terus ke dalam badan manusia menyebabkan peningkatan risiko masalah kesihatan, terutamanya yang melibatkan jantung dan paru-paru. Jerebu turut mengundang masalah kesihatan lain seperti keradangan mata, selesema dan kegatalan pada bahagian kerongkong pada individu yang sihat dalam jangka pendek.

Lebih parah lagi, ia juga meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular, mengurangkan perkembangan paru-paru dan menyebabkan masalah pernafasan bagi golongan berisiko tinggi seperti bayi dan warga emas.

Secara umumnya, kanak-kanak kecil, terutamanya bayi-bayi yang baru lahir berhadapan dengan risiko kesihatan yang lebih tinggi kerana sistem pernafasan mereka mudah tercemar apabila kerap menghirup udara yang tidak sihat. Tambahan pula, penyedutan udara tercemar dalam jangka masa yang panjang juga mungkin akan menyebabkan kerencatan dan kecacatan pada otak mereka. Manakala warga emas pula akan mudah dijangkiti penyakit-penyakit kronik dan masalah paru-paru yang boleh mengancam kesihatan dan nyawa mereka.

Bagi golongan yang menghidap penyakit asma pula, mereka akan mengalami risiko yang sama dari segi kesukaran bernafas yang seterusnya yang akan membawa kepada serangan asma. Serangan asma berlaku apabila seseorang mengalami kesesakan nafas secara berulang dan nafas berdehit yang disebabkan oleh bengkakan pada tiub bronkus yang menyempitkan saluran pernafasan dan mengurangkan aliran udara yang masuk dan keluar dari paru-paru.

 


Artikel berkaitan: Tip Jobstore Menjaga Kebajikan Pekerja Ketika Jerebu


 

 

Apakah yang anda boleh lakukan untuk menjaga kesihatan ketika musim jerebu?

Selain memakai alat pernafasan N95 yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, anda dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti fizikal dan sukan di luar bangunan bagi mengelakkan daripada menghirup asap jerebu yang boleh membahayakan kesihatan anda. Sekiranya anda gemar untuk kekal aktif dan melakukan aktiviti senaman, anda boleh melakukannya di rumah atau pusat kecergasan berhampiran.

Di samping itu, anda juga digalakkan agar minum sekurang-kurangnya 2 literair suam sehari untuk mengelakkan tubuh anda dari kehausan dan dehidrasi ketika musim jerebu. Pemakanan sihat juga memainkan peranan dalam meningkatkan sistem imunisasi badan. Oleh itu, anda disarankan untuk memakan buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan antioksida, vitamin, mineral dan serat untuk menghindarkan diri dari penyakit yang disebabkan oleh pendedahkan kepada jerebu

 

 

Sekiranya berkemampuan, pasangkan alat pendingin hawa dan penapis udara untuk memerangkap dan menapis partikel-partikel halus dan menghalang asap jerebu memasuki ke kawasan rumah supaya anda menikmati udara yang bersih di dalam rumah. Tambahan pula, anda perlu mengawasi kesihatan anak-anak anda, terutama mereka yang menghidap penyakit asma, atau mengalami masalah pernafasan dan jantung untuk mengelakkan mereka daripada terdedah kepada asap jerebu yang berbahaya di luar rumah.

Bukan itu sahaja, anda perlu memastikan bahawa anda kerap membersihkan muka dan tangan dengan bekalan air yang bersih, serta mencuci pakaian yang terdedah kepada jerebu sebagai langkah pencegahan sekiranya anda terlibat dalam sebarang aktiviti di luar. Namun begitu, jika kesihatan keluarga anda telah terjejas akibat masalah jerebu yang telah melanda negara kita sejak minggu lalu, adalah disarankan untuk mendapatkan rawatan di klinik dan hospital dengan kadar segera.

Kesimpulannya, penjagaan kesihatan sangat penting ketika musim jerebu melanda demi mengambil berat dan menjaga keselamatan diri dan seisi keluarga anda. Oleh itu, adalah disarankan agar anda mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengikuti petua-petua yang dikongsi dan nasihat-nasihat yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Negara demi menjaga kesejahteraan anda dan orang tersayang.

 

 

Apakah langkah anda untuk kekal sihat ketika musim jerebu? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah! Jangan lupa untuk layari Jobstore.com untuk lebih banyak peluang pekerjaaan!


Sarah Sahadin or known as Sarah S., is a Digital Marketer-cum-Junior Graphic Designer and Malay-language content writer who writes career, lifestyle and current trending contents to engage Malay readers, informing about the latest trends happening around. Sarah also has a passion for motorsport (can be spotted at Sepang Circuit on some certain weekends) and enjoys manga illustration during her free time.

Reach me at sarah@jobstore.com.

SHARE ON