Trend mengembara atau bagpacking sangat popular di kalangan pelancong yang ingin menjelajah dan mengenali budaya luar. Dalam menikmati keseronokan mengembara dan melawat tempat baru, ada segelintir pelancong terutamanya pelancong dari negara Barat berani mengambil kesempatan dengan meminta sedekah di tepi-tepi jalan, terutamanya di Malaysia dan negara-negara Asia lain. Dengan itu, lahirnya trend begpackers yang dilihat semakin agresif di ibu-ibu kota rantau Asia pada zaman ini. Begpackers adalah istilah yang merujuk kepada golongan pelancong asing yang meminta derma atau sumbangan daripada orang ramai untuk menampung kos perjalanan mereka. 

 

 
Sejak kebelakangan ini, isu kebanjiran begpackers di Malaysia semakin parah dengan ramai pelancong asing “menagih simpati” untuk menampung perbelanjaan percutian mereka secara haram. Antara tindakan yang telah berlaku ialah video tular di mana seorang bayi dilambung dan dihayun secara berbahaya oleh seorang begpacker dari Rusia awal tahun ini. Tindakan sebegini telah mengundang kemarahan warga tempatan serta pelancong-pelancong asing yang tidak melakukan aktiviti tersebut. Sebelum ini, media tempatan turut melaporkan kehadiran pelancong warga Jerman, Benjamin Holst yang sering berulang alik dari Malaysia dan beberapa negara Asia lain untuk mengemis.
 
Persoalannya, kenapa begpackers memilih untuk mengemis semata-mata untuk menampung perbelanjaan  percutian mereka? Ini kerana mereka melancong ke negara-negara di mana barang-barangan dijual dengan harga murah dan nilai mata wang yang sangat rendah berbanding negara-negara asal mereka. Sebenarnya, tindakan ini telah melanggar undang-undang negara di mana mereka melanggar syarat-syarat pas lawatan sosial.
 
Lebih-lebih lagi, golongan begpackers mempunyai taktik yang licik dalam “meraih simpati” masyarakat tempatan. Mereka selalunya menggunakan bakat mereka seperti bermain muzik, melukis dan melakukan aksi magik, serta menjual cenderahati seperti gambar dan poskad untuk menarik perhatian dan meminta sedekah. Oleh disebabkan itu, golongan tersebut memanipulasi sikap peramah dan pemurah warga tempatan melalui taktik tersebut.
 
 
Melalui tinjauan yang dibuat oleh Astro Awani, beberapa pelancong asing telah menyuarakan pendapat mereka tentang isu tersebut. Pelancong-pelancong dari Kanada, Amerika Syarikat dan Syria berpendapat bahawa perkara itu tidak adil dan tidak sepatutnya dilakukan ketika melancong. Pelancong Amerika Syarikat turut menegaskan bahawa jika golongan begpackers tidak mempunyai wang yang cukup, maka mereka tidak perlu meneruskan hasrat mereka untuk mengembara dunia. 
 
Berbeza pula pandangan pelancong dari Turki, walaupun tindakan itu menyalahi undang-undang negara, namun ia membantu mereka untuk menampung perbelanjaan dan dapat mengenali masyarakat tempatan dengan lebih dekat. Pelancong itu juga berkata kebanyakan warga tempatan tidak kisah tentang kehadiran begpackers, namun pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan polis akan membangkitkan isu berkenaan.
 
Perbuatan seperti menjual cenderahati, busking dan sebagainya perlu diambil tindakan oleh pihak-pihak berkuasa dalam membendung isu begpackers. Jika perkara ini tidak ditangani secara komprehensif, ia akan menjejaskan ekonomi negara dalam sektor pelancongan serta merosakkan lanskap pelancongan. Tambahan pula, golongan begpackers akan diusir dan disenarai hitam oleh pihak imigresen sekiranya mereka masih melakukan perkara yang bertentangan dengan syarat-syarat pas lawatan sosial.
 
Konklusinya, isu begpackers di Malaysia semakin serius dan boleh menggugat ketenteraman warga-warga tempatan serta ekonomi dalam sektor pelancongan. Selaras dengan menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara destinasi pelancongan terbaik dunia, tibalah masanya untuk pihak-pihak berkuasa bertegas terhadap golongan-golongan begpackers dalam usaha memerangi isu ini. Jika anda ingin melancong ke negara lain, pastikan anda berniat untuk mengembara dunia untuk menikmati panorama serta mengenali budaya mereka dan bukannya datang semata-mata untuk meminta simpati daripada warga tempatan. 
 

 

Wajarkah undang-undang terhadap begpackers di negara ini perlu diambil berat? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Jangan lupa untuk layari Jobstore.com untuk lebih banyak peluang pekerjaaan!


Sarah Sahadin or known as Sarah S., is a Digital Marketer-cum-Junior Graphic Designer and Malay-language content writer who writes career, lifestyle and current trending contents to engage Malay readers, informing about the latest trends happening around. Sarah also has a passion for motorsport (can be spotted at Sepang Circuit on some certain weekends) and enjoys manga illustration during her free time.

Reach me at sarah@jobstore.com.

SHARE ON